Tag Archive | sistem pendidikan

Sajak: Pendidikan yang Sudah Rosak

Oleh: Abuya Ashaari Muhammad

Dasar pendidikan di negara-negara umat Islam
di seluruh dunia selepas merdeka,
satu sama lain tidak jauh bezanya
Kalau ada pun kelainannya
hanya di segi teknik dan bahasa
yang digunakan sahaja
Dasarnya adalah sekular
untuk semata-mata
melahirkan orang pandai,
boleh membuat kemajuan
dan mengejar dunia
Teras pendidikannya
tidak berdasarkan tauhid atau ketuhanan
kecuali terlalu sedikit sahaja
Syariat yang diajarkan pula
terlalu asas
hanya di sekitar ibadah
Cintakan Tuhan dan takutkan Tuhan
jauh sekali
Tauhid hanya sekadar mengesahkan aqidah
agar jangan tersalah
Oleh kerana di dalam pendidikan
aqidah yang diajar terlalu asas,
akhlak yang tinggi dan mulia
tidak mungkin terserlah
Tidak mungkin melahirkan manusia
yang cintakan Allah
dan sesama manusia
Apatah lagi hendak melahirkan manusia
yang tawadhuk, pemurah, sabar
rasa bersama, bekerjasama,
mengutamakan orang
mustahil rasanya
Tidak mungkin melahirkan manusia
yang ikhlas, pemalu, berani kerana Allah
tawakal, berdikari, rajin beribadah, jujur
Pokok pendidikan yang telah ditanam
semenjak merdeka
sudah pun berbuah
Buahnya ialah yang berjaya di dalam perniagaan
sombong, tamak, berfoya-foya,
mementingkan diri, hidup nafsi-nafsi
Yang berjaya di dalam pelajaran
dan mendapat jawatan tinggi
egonya tinggi, hidup nafsi-nafsi
kecuali kerja rasmi
Yang tidak berjaya
kecewa, ada yang putus asa
inferiority complex tiba
Rasuah jadi budaya di kalangan yang berjaya
curi, tipu, kidnap, di kalangan yang kecewa
Melahirkan manusia sudah mewah pun tidak puas
yang miskin kecewa, putus asa, melata
Pemuda-pemudi berfoya-foya
melepak-lepak merata-rata
terperangkap dengan dadah,ganja, bohjan, bohsia
bergaul bebas jadi budaya
Video lucah, vandalisme
black metal, skin head, zina
disiplin tidak ada
Inilah dia buah daripada pendidikan selepas merdeka
yang berlaku di negara umat Islam sedunia
Setiap golongan susah-menyusahkan di antara golongan
curiga-mencurigai di antara puak
prejudis satu sama lain
Guru benci dengan murid
murid benci dengan guru
rakyat benci dengan pemimpin
pemimpin benci dengan rakyat
Di antara anak dan ibu bapa renggang
apatah lagi di antara saudara-mara
Berkawan tidak setia
khianat-mengkhianati sesama
jenayah memeningkan kepala
perpecahan tak usah dikira
Padahal tujuan ingin merdeka
ingin bangsa jadi kuat
kalaupun tidak jadi empayar
Tapi apa yang berlaku
tak usah hendak jadi empayar
berdikari pun belum boleh lagi
Kalau dulu bolehlah salahkan penjajah
sekarang siapa yang bersalah
kalau bukan bangsa sendiri
Oleh kerana buah pendidikan di setiap negara
telah menjadi racun membunuh diri
Setiap orang di dalam ketakutan
setiap orang di dalam kebimbangan
setiap orang merasa ngeri
Tapi cerdik pandai, pemimpin, ulama
belum sedar diri, masih buntu
jalan keluar tidak tahu
Bukan tidak tahu
ada golongan membawa kebenaran
tapi bermusuhan kerana kepentingan diri
Kepentingan diri yang telah diperolehi
atau dididik daripada sekolah lagi
Sekarang negara umat Islam
nama sahaja sudah merdeka
hakikatnya belum bebas lagi
Apabila Amerika mengamuk
umat Islam di dalam ketakutan
terpaksa menerima arahan
Apabila Amerika mengamuk
terpaksa ada negara umat Islam
menjadi tali barutnya
Tapi katanya sudah merdeka
itu bukan merdeka
terpaksa ikut Amerika

Menjelang tidur
02 – 02 – 2004