Archive | February 2013

Matlamat Pendidikan Menurut Islam

Petikan dari Buletin Nur Muhammad Edisi 4

Kebanyakan ibu bapa menganggap bahawa sekolah ialah tempat menimba sebanyak-banyak ilmu hingga ke peringkat yang setinggi mungkin supaya masa depan anak-anak mereka terjamin. Apabila mendapat sijil dan ijazah sama ada ijazah pertama, masters atau PhD, akan mudahlah bagi anak-anak mereka itu mendapat jawatan yang tinggi dan gaji yang lumayan. Mungkin di celah-celah itu terselit juga maksud supaya ibu, ayah, anak dan keluarga seluruhnya dipandang mulia di sisi masyarakat sebagai keluarga pintar dan berpelajaran.

Itulah juga asas yang digunakan dalam masyarakat kita bagi mengurniakan anugerah, pujian dan sebagainya. Mithali atau tidak adalah berdasarkan kepada berapa ramaikah anak-anak yang berjaya dididik hingga menjadi doktor, jurutera, arkitek, akauntan, pensyarah universiti, peguam, ahli perniagaan dan sebagainya.

Dalam erti kata yang lain, anak-anak dihantar ke sekolah khusus untuk tujuan ekonomi (untuk mendapat kerja) dan bagi tujuan mendapat kemuliaan dan kehormatan di sisi masyarakat. Tidak dapat kita lihat adanya matlamat selain dari dua matlamat yang disebutkan itu.

Oleh yang demikian, samalah ibu ayah kita dengan masyarakat yang bukan Islam seperti di Amerika, United Kingdom, negara-negara Eropah, Jepun, China dan sebagainya. Ibu ayah di negara-negara tersebut juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tujuan ekonomi dan untuk mendapat kehormatan dan kemuliaan di sisi masyarakat mereka, tidak lebih dari itu.

Sedangkan menuntut ilmu itu diwajibkan oleh Islam. Masakan Islam mewajibkan kita menuntut ilmu hanya supaya kita boleh dapat kerja, dapat gaji yang banyak dan dimuliakan di sisi masyarakat kerana ilmu kita itu. Masakan matlamat hukum Islam supaya kita mencari ilmu itu terhenti setakat hal-hal dunia yang remeh-temeh seperti itu. Kalau setakat itulah sahaja matlamatnya, apa perlunya Allah datangkan Islam kepada kita dan apa perlunya diwajibkan pula kita menuntut ilmu. Orang-orang bukan Islam pun boleh faham malah mereka lebih gigih mencari ilmu tanpa payah mereka menganut dan mengamalkan Islam.

Di peringkat negara pula, berdasarkan kepada dasar pendidikan yang diamalkan, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan ekonomi atau buruh ekonomi (economic labour force) yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri pembuatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. Inilah perkara pokok yang terkandung dalam dasar pendidikan negara.

Kalaupun ada dasar yang berbau atau bersifat kemanusiaan seperti agama, moral atau bina insan, itu adalah untuk menentukan pelajar tidak jadi liar atau jadi jahat supaya mereka tidak mencetuskan huru-hara dan merosakkan sistem yang ada. Ia adalah untuk mempertahan dan menyelamatkan sistem yang ada dan bukan untuk menyelamatkan pelajar itu sendiri dari kemurkaan Tuhan dan dari seksa api neraka. Istilah ‘dasar pendidikan’ yang digunakan juga tidak tepat kerana dasar tersebut kurang menekankan hal-hal pendidikan yang sepatutnya membuahkan akhlak tetapi banyak menekankan hal-hal yang bermatlamatkan ilmu semata-mata terutama ilmu dunia atau ilmu akademik.

Inilah keadaan sistem dan matlamat persekolahan yang wujud sekarang di negara kita. Tidak salahlah kalau ada pihak yang menuduh sistem ini sebagai sekular kerana ia tepat dengan takrif sekular itu sendiri. Sekular bermaksud sesuatu yang bermatlamatkan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan Akhirat.

Oleh itu, sesuatu mesti dilakukan supaya sistem sekolah kita dapat disusun semula untuk menjadikannya satu sistem yang menjurus kepada Akhirat dan kepada keredhaan Tuhan dan tidak hanya untuk tujuan duniawi dan untuk mencetuskan kemajuan dan pembangunan sahaja. Dalam erti kata lain, sistem persekolahan kita mesti mampu membina suatu tamadun rohani yang akan membawa kepada kebahagiaan di dunia dan di Akhirat.

Tujuan utama pelajaran dan pendidikan dalam Islam bukan semata-mata hendak menguasai berbagai-bagai bidang ilmu tetapi ialah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Iaitu insan yang menjadikan Allah cinta agungnya, Akhirat matlamat hidupnya, yang melihat dunia ini semata-mata sebagai tempat untuk bercucuk tanam yang hasilnya diperolehi di Akhirat dan agar terselamat mereka dari neraka dan berjaya memasuki syurga. Iaitu insan yang sanggup dan rela berjuang dan berkorban untuk menyampaikan pelajaran serta membangunkan sahsiah manusia di tengah masyarakat agar ahli-ahli masyarakat juga menjadi insan-insan yang bertaqwa. Dalam erti kata yang lain, pendidikan itu adalah untuk melahirkan insan yang mampu mengajak dan menyeru manusia kepada kebajikan dan kebaikan serta untuk menegah dan menghindar mereka dari kejahatan dan kemungkaran (amru bil makruf wanahyun anil mungkar).

Dalam Islam, sekolah bukan semata-mata untuk melahirkan ahli ilmu yang bertauliah dengan tujuan untuk makan gaji, untuk sara hidup atau untuk kemegahan dan nama di dunia, tetapi adalah untuk melahirkan orang-orang yang bekerja untuk Tuhan. Orang-orang yang bertanggungjawab menyampaikan ajaran Allah Taala dan memperkenalkan manusia kepada Allah. Agar agama Allah diterima oleh manusia dan dapat mengatasi seluruh agama lain di atas muka bumi ini. Agar manusia seluruhnya menyembah Allah yang menciptakan mereka dan bukan tuhan-tuhan palsu yang lain atau terus menolak, menafi dan menentang Tuhan.

Ini semua adalah untuk menentukan agar seluruh kehidupan berjalan dengan penuh disiplin, bertolong bantu, bekerjasama dan mengikut syariat Allah supaya akan wujud harmoni dan kasih sayang antara manusia. Begitulah besarnya matlamat dan erti pelajaran dan pendidikan kepada manusia. Ia merupakan roh dan nadi kepada seluruh kehidupan.

Kalau sesebuah sistem pelajaran dan pendidikan itu hanya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, dapat melahirkan ahli-ahli ilmu dalam pelbagai bidang dan dapat melahirkan cendekiawan-cendekiawan yang terbilang dan tidak lebih dari itu, maka sistem seperti itu telah gagal oleh Islam. Kerana ia telah melahirkan manusia yang tidak kenal Penciptanya dan yang membelakangkan syariat-Nya, yang mengutamakan hidup di dunia melebihi hidup di Akhirat, yang sombong, yang mementingkan diri dan yang gilakan nama dan glamor. Dengan adanya manusia-manusia seperti ini maka akan lahirlah budaya jatuh-menjatuhkan, fitnah-memfitnah, singgung-menyinggung, umpat-mengumpat dan kata mengata. Akan timbul pula berbagai-bagai lagi kerosakan yang lain mengikut ragam masing-masing. Akhirnya, timbullah huru-hara di dalam kehidupan dan manusia akan hilang keamanan dan keselamatan.

Selain itu, matlamat pendidikan dan pelajaran ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi mengikut kehendak Tuhan. Dan tidaklah manusia itu diciptakan oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Sekiranya sesebuah sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan diri kepada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia, maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah tentu nerakalah tempat kembali yang selayaknya. Wal’iyazubillah.

Ulasan admin:
Artikel di atas adalah dasar. Iaitu meletakkan Allah sebagai satu-satunya matlamat dalam berpendidikan. Manakala Akhirat sebagai tempat kembali. Kalau kita kaji dan huraikan lagi artikel di atas, kita memang sedang berada dalam suasana sistem pendidikan yang sudah rosak. Lihat saja masyarakat hari ini, gejala yang bertimpa-timpa sedang membusuk di mana-mana. Ini diakibatkan oleh sistem pendidikan yang sudah rosaklah. Pendidikan adalah tulang belakang sesuatu bangsa. Kalau patah atau rosak tulang belakang, lumpuhlah satu badan. Seluruh sistem kehidupan yang lainnya ikut sama rosak.

Dan, kalau disuluh dengan lebih terperinci, hanya pendidikan Islam menurut Rasulullah sajalah yang akan mampu mengubat, menyembuhkan kembali seluruh penyakit yang melanda masyarakat hari ini. Rasulullah telah datang ke tengah-tengah masyarakat Arab jahiliyah ketika itu, dalam tempoh 23 tahun telah berjaya mendidik mereka hingga berjaya melahirkan para Sahabat yang mampu mengIslamkan 3/4 dunia. Bangsa Arab, oleh Rasulullah selepas itu telah dilihat sebagai satu bangsa yang kuat, membina empayar, bahkan kegemilangan tamadun Islam lahir hasil didikan Rasulullah kepada para Sahabat, yang kemudiannya disambung zaman berzaman.

Namun, selepas kejatuhan empayar Uthmaniah di Turki, Islam tidak bangkit lagi. Islam tidak lagi disanjung orang. Bahkan dihina dan diejek-ejek di mana-mana. Islam dilihat kolot dan sungguh tak bertamadun. Umat Islam pula hanya mampu berlutut di kaki sistem yang telah dirosakkan oleh musuh-musuh Islam secara keseluruhannya kerana tidak yakin dengan kesyumulan Islam itu sendiri.

Kalau kita nak lihat Islam diagungkan semula, mahu tidak mahu, kita perlukan seorang pendidik persis Rasulullah method didikannya. Melawan arus pun tak mengapalah. Asalkan menepati kehendak Allah, dan kemudiannya kita berjaya menepati kehendak sistem pendidikan Islam, melaksanakannya dan seterusnya memperjuangkannya. Semoga, hasilnya nanti seluruh sistem hidup Islam kembali diagungkan dan dimuliakan.

Ampun maaf semua.
Dari pena harumsyurga.

Kebenaran Dari Tuhan

Petikan dari buku Buah Fikiran Ustaz Hj. Ashaari Muhammad Siri 2

Tidak ada orang yang tidak sukakan kebenaran. Kebenaran adalah kehendak bersama atau milik bersama. Kebenaran itu mahal sebenarnya. Kebenaran itu hebat. Kebenaran itu ajaib. Kebenaran itu adalah sesuatu yang indah, tenang, menyenangkan, bahagia dan harmoni.

Begitulah sifat atau watak kebenaran. Jadi kalau begitu tentu semua orang mengkehendakinya. Semua bangsa, etnik, agama perlukannya sebab ia indah, senang , menyenangkan, tenang dan menenangkan. Jadi kebenaran yang hebat itu menjadi keperluan bersama manusia. Kebenaran yang dimaksudkan ialah:
• Kasih sayang
• Keadilan
• Perikemanusiaan yang amat tinggi
• Rasa bersama dan bekerjasama
• Kesatuan dan perpaduan
• Mengutamakan orang lain dan bertolak ansur
• Ilmu pengetahuan yang membawa kebaikan
• Merendah diri pada Tuhan dan sesama manusia
• Memikirkan kepentingan orang lain
• Sangat simpati dengan orang susah, orang yang mendapat kemalangan dan orang yang mendapat ujian.

Itulah sebahagian daripada kebenaran. Inilah yang dunia mahukan. Ini yang dunia kehendaki semenjak dari Nabi Adam hingga hari ini. Bahkan hingga dunia ini dikiamatkan oleh Tuhan nanti. Walaupun begitu, hendak mendapatkan kebenaran dalam kehidupan amat sulit. Kalaupun dapat, hanya satu atau dua perkara sahaja. Manusia inginkan kebenaran tetapi manusia tidak menemuinya. Itu menunjukkan kebenaran itu tidak mampu manusia cipta. Kebenaran itu bukan ciptaan manusia.

Kebenaran adalah dari Tuhan. Sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran:

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ الْمُمْتَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kebenaran itu dari Tuhanmu, maka janganlah engkau menolak.” (Ali Imran: 60)

Ertinya kebenaran bukan ciptaan manusia tetapi ia dari Tuhan yang diberikan kepada manusia. Bagi mendapatkan kebenaran dari Tuhan untuk keperluan bersama manusia, Tuhan mensyaratkan kebenaran itu mesti diperjuangkan. Kalau kebenaran itu tidak diperjuangkan maka kebenaran itu tidak akan dapat dimiliki oleh manusia. Sebab itulah sehingga hari ini, kebenaran yang sempurna, yang lengkap, yang serba ada, belum dimiliki oleh manusia. Kerana itulah manusia hari ini hidup tidak menentu. Hidup dalam derita. Berlaku krisis demi krisis dan tidak ada ketenangan. Bahkan di rumah-rumah ibadah pun tidak ada ketenangan. Kecuali hanya berlaku sekali-sekala seperti di zaman Rasulullah SAW.

Mahalnya kebenaran itu. Semua orang perlukannya tetapi sangat susah untuk dimiliki kerana ia adalah anugerah dari Tuhan. Kalau manusia mahu memilikinya, hendaklah diperjuangkan kebenaran itu.

PERJUANGAN KEBENARAN

Memperjuangkan kebenaran melalui sebuah jemaah yang dipimpin oleh seorang pemimpin bukan satu perjuangan yang kecil. Ia satu perjuangan yang hebat kerana kebenaran itu dari Tuhan.

Apa yang datang dari Tuhan; yang hendak diperjuangkan melalui jemaah supaya kebenaran itu dapat dimiliki oleh manusia sejagat; bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan seorang pemimpin yang bukan calang-calang pemimpin. Mestilah pemimpin itu ditunjuk oleh Tuhan. Kalau pemimpin itu tidak ditunjuk oleh Tuhan, tidak mungkin kebenaran itu dapat dipersembahkan kepada dunia hingga boleh diterima oleh masyarakat dunia dan menjadi hak bersama. Hingga masing-masing dapat kebahagiaan bersama.

Padahal jemaah-jemaah yang wujud di dunia sejak dulu sampai sekarang, semua berkata hendak perjuangkan kebenaran dengan membawa berbagai-bagai nama dan istilah. Namun kebenaran yang hendak dicari dan diperjuangkan itu tidak pernah ditemui. Yang berlaku hanya kekacauan, ketidakadilan, hari-biru dan krisis sana-sini. Makin berjuang, makin lahir berbagai-bagai krisis dan kekacauan.

Kalau bukan melalui pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan, kebenaran dari Tuhan itu tidak dapat disajikan ke tengah masyarakat. Jadi pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan sahajalah yang akan mampu memperjuangkan kebenaran itu. Yang paling utama pemimpin itu ialah para rasul. Tapi berlaku juga dalam sejarah orang yang bukan rasul boleh membawa kebenaran iaitu membawa keindahan hidup yang sempurna. Antaranya Tholut, Zulkarnain, para Khulafaur Rasyidin yang memimpin selepas wafatnya Rasulullah, Sayidina Umar Ibnu Aziz, Salahudin Al-Ayubi dan Muhammad Al-Fateh.

Jadi kebenaran hak bersama, hak semua orang, hak semua etnik, hak semua bangsa dan hak semua agama. Maka sebab itu pemimpinnya mesti ditunjuk oleh Tuhan. Kalau tidak, tidak akan mampu melaksanakannya.

Kalau kebenaran itu sudah terserlah, ia akan mudah diterima. Kalau kebenaran itu sudah meluas, maka tidak susah orang memahaminya sebab keindahannya sudah dapat dirasai bersama. Kalau ada yang menentang pun, itu golongan minoriti yang ada kepentingan dan hasad dengki. Majoritinya mudah untuk menerima.

Yang susah dalam perjuangan kebenaran adalah waktu hendak memulakannya atau waktu hendak diasaskan yakni waktu kebenaran itu belum nampak lagi. Peringkat ini amat sulit dan amat susah. Kalau pemimpin itu tidak sabar dan tidak mempunyai ilmu yang cukup, dia tidak mungkin boleh buat. Sebab itu hanya pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan sahaja yang boleh melakukannya kerana pemimpin itu sentiasa dimonitor dan dibacking oleh Tuhan.

Sungguh mahal kebenaran. Hanya pemimpin yang Tuhan tunjuk yang boleh melaksanakannya. Kalau tidak, keadaan akan haru-biru dan kacau-bilau. Kalau kebenaran itu sudah terserlah, sudah nyata, itu mudah. Tetapi waktu hendak diasaskan yakni waktu hendak bermula, sangat besar cabarannya. Terutamanya bila penguasa-penguasa dunia menganggap perjuangan kebenaran itu satu kejahatan, satu perjuangan yang membawa huru-hara, yang mengancam dan mencabar keselamatan di sesebuah negara. Sebab itu dikatakan hanya orang yang ditunjuk Tuhan sahaja yang boleh melakukannya.

CIRI-CIRI PERJUANGAN KEBENARAN

Sebelum terserlah kebenaran, bagaimana kita hendak pastikan sesuatu perjuangan itu membawa kebenaran? Peringkat awal itu yang susah, iaitu untuk pastikan benar atau tidak benarnya perjuangan itu. Oleh itu kita mesti tahu apakah buktinya perjuangan itu membawa suatu kebenaran. Dan apa buktinya bahawa pemimpinnya ditunjuk oleh Tuhan terutama kalau dia bukan rasul. Dalam erti kata lain, apa buktinya dia adalah mujaddid. Perlu dikenal pasti ciri-ciri kebenaran secara umum sama ada pemimpinya, pengikutnya dan jemaahnya. Ini penting. Kalau tidak nanti, yang benar dikata tidak benar dan yang tidak benar dikata benar. Yang benar ditentang manakala yang tidak benar diterima. Di sini akan disebutkan ciri-cirinya secara umum sama ada pada para pemimpinnya, pengikutnya atau jemaahnya.

Ciri-ciri kebenaran itu ada dua kategori iaitu:
1. Ciri yang tersirat
2. Ciri yang lahir

CIRI-CIRI YANG TERSIRAT

Terhadap perkara-perkara yang tersirat, payah untuk dikenalpasti. Kecuali oleh orang yang rapat dengan perjuangan dan pemimpin. Jadi tidak semua orang tahu sebab ia sangat tersembunyi dan tersendiri. Manakala ciri yang lahir, lebih mudah dilihat. Walaupun ciri-ciri yang tersirat itu payah untuk dikenalpasti tetapi ianya akan disebutkan juga di sini. Di antaranya:

1. Pemimpinnya dijanjikan
Memang kebenaran itu datangnya dari Tuhan. Jadi, ia sudah dimonitor oleh Tuhan sebelum wujudnya jemaah. Itu yang dikatakan tersirat. Hanya orang tertentu yang nampak. Dalam jemaah, yang paling penting ialah pemimpin. Tanpa pemimpin, jemaah tidak dapat digerakkan. Jadi pemimpin ini Tuhan sudah monitor sejak dia belum lahir lagi. Hal ini dapat dikesan oleh sesetengah orang yang Tuhan beritahu. Contohnya, datuk atau ayahnya, orang-orang soleh di zaman itu atau tokoh-tokoh rohani yang memberitahu bahawa akan lahir dari sulbi ini orang yang begini-begini. Ertinya, sebelum lahir pemimpin itu lagi, pelbagai bangsa sudah dapat isyarat. Bila lahir pemimpin itu, lebih-lebih lagi mereka dapat kenal pasti. Contoh-contohnya:

a) Pemimpin yang paling utama adalah Rasulullah SAW. Sebelum baginda lahir lagi sudah ramai orang yang tahu. Namanya pun sudah diberitahu, dari bangsa apa dan dari mana. Hal itu terkenal dalam sejarah. Inilah ciri tersirat yang dimaksudkan.

b) Ia juga berlaku kepada pemimpin yang ditunjuk Tuhan, sekalipun dia bukan rasul. Sebagai contoh, Umar Ibnu Aziz adalah piut kepada Sayidina Umar Al Khattab. Sayidina Umar tidak bertemu dengan Umar Bin Abdul Aziz yang jarak antara keduanya dekat 100 tahun. Namun Sayidina Umar sudah diberitahu bahawa akan lahir dari sulbinya, seorang yang akan membawa keadilan memenuhi dunia dan ada tanda di dahinya. Seolah-olah Sayidina Umar nampak, padahal Sayidina Umar bukan rasul dan Umar Abdul Aziz pun bukan rasul.

c) Sewaktu Imam Syafie dijemput bertemu gurunya, waktu itu umurnya antara 9 ke 12 tahun. Kali pertama bertemu Imam Malik, Imam Syafie dinasihatkan agar menjaga akhlaknya kerana dia ada masa depan, ertinya akan jadi pemimpin. Waktu itu Imam Syafie masih budak tetapi Imam Malik sudah tahu. Rupa-rupanya Imam Syafie menjadi mujaddid yang kedua.

2. Keturunan pemimpin dijaga
Termasuk yang tersirat itu ialah Tuhan menjaga keturunan pemimpin itu. Inilah yang saya maksudkan Tuhan monitor dari jauh lagi. Ratusan dan puluhan tahun sebelum Rasulullah, keturunannya tidak cacat, sama ada dari pihak ibu mahupun ayahnya. Ertinya Rasul dari keturunan yang sangat bersih. Kalau pemimpin yang bukan rasul, keturunannya agak bersih. Kalau Rasul sangat bersih keturunannya. Kalau mujaddid agak bersih. Tuhan jaga keturunannya. Macam orang Yahudi juga, bila hendak lahirkan pemimpin, 200 ke 300 tahun sebelum itu, mereka sudah monitor. Mereka campur-campurkan atau kahwin-kahwinkan sesama orang paling jahat hingga lahirlah pemimpin yang jahat yang akan buat kerja untuk mereka.

Bukti jelas adalah Mustafa Kamal Attartuk di Turki. Yahudi monitor kelahirannya 200 tahun sebelumnya bagi melahirkan seorang pemimpin yang boleh hancurkan Islam di Turki. Dicampur-campurkan anak zina dengan dikahwin-kahwinkan anak zina hingga lahirnya Kamal Attartuk. Dia tidak kenal siapa ibu bapanya. Lihatlah bagaimana orang Yahudi belajar dari Tuhan. Orang Islam tidak belajar. Ini kaedah Tuhan. Dari jauh sudah monitor. Tuhan hendak lahirkan orang baik manakala Yahudi hendak lahirkan orang jahat tetapi kaedahnya sama. Begitu dalamnya ilmu orang Yahudi kerana mengambil ilmu Tuhan. Yang kita, buat tidak tahu. Maha Besar Tuhan. Itu yang tersirat.

3. Peribadinya terpelihara
Termasuk yang tersirat, waktu pemimpin itu baru lahir hingga dewasa, nakal macam mana pun, lasak macam mana pun dia namun ada padanya sifat-sifat tertentu yang Tuhan beri supaya jangan sampai dia memiliki sifat-sifat yang jahat. Kalau Rasul sudah tentulah terpelihara. Sebab itu Sayidina Abu Bakar, oleh kerana berkawan dengan Rasulullah sejak kecil, dia nampak betul Rasulullah itu pelik, luar biasa dan ajaib. Seolah-olah baginda itu malaikat berupa manusia. Sebab itu bila Rasulullah isytihar, “Ana Rasulullah”, Sayidina Abu Bakar kata, “Sadaqta – kamu benar.” Sedangkan kawan-kawan yang lain berdolak-dalik hendak terima atau tidak. Sayidina Abu Bakar terus jawab, “Engkau betul.”

4. Ilmunya dari Tuhan
Selain itu yang juga tersirat ialah, pemimpin kebenaran itu, kalau dia rasul, dia dapat 100% ilmunya dari Tuhan. Tapi kalau dia bukan rasul, ilmu yang asas-asas dia dapat dari guru dan tambahan yang banyak-banyak itu, Tuhan yang ilhamkan. Ini sangat tersirat, yang orang tidak nampak. Hanya tuan punya diri yang tahu. Sebab itu kalau dikatakan sebuah jemaah itu membawa kebenaran, pemimpin itu bawa kebenaran, yang mana dia itu benar-benar ditunjuk oleh Tuhan maka waktu dia memimpin, dia tidak ambil ilmu dari bahan bacaan. Dia tidak kutip-kutip dari apa-apa yang dia dengar. Dia tidak merujuk sana-sini. Ilmu itu betul-betul dari dia. Seseorang yang mengambil ilmu dari sumber lain, bukan dari dia sendiri, kalau dia buat jemaah, walaupun niat dia baik tetapi itu bukan kebenaran kerana tidak dibacking dengan ilmu dari Tuhan. Ilmunya bercampur aduk, tidak dari satu line atau satu saluran sahaja. Itulah antara ciri-ciri yang termasuk dalam ciri-ciri yang tersirat tadi.

5. Pemimpin sangat sabar
Di sudut yang lain, pemimpin kebenaran itu sangat sabar. Seseorang yang sangat sabar bukan senang untuk dikenal. Kalau bukan Tuhan tunjuk, tidak akan jadi sabar. Sebab itu Tuhan berkata dalam Al Quran:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا …

Maksudnya: “Dan setengah dari kalangan mereka itu kami jadikan pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami setelah mereka sabar.”
(As-Sajadah: 24)

Jadi orang sabar sahaja Tuhan jadikan pemimpin kebenaran. Itu semuanya tersirat. Payah hendak dikenal pasti. Tapi proses itu berlaku. Orang tertentu atau orang terdekat sahaja yang kenal, seperti anak isterinya.

6. Mendapat bantuan ghaib
Antara ciri yang tersirat lagi ialah pemimpin kebenaran itu dapat bantuan ghaib dari Tuhan. Ini tidak dapat dilihat kerana ia tersirat. Sama ada dari segi ilmu, keselamatannya mahupun makan minum. Nampak macam tidak bekerja tetapi rezekinya dijamin. Kadang-kadang nampak macam hendak ditimpa bahaya tetapi tidak jadi. Adalah sebab-sebab yang menyebabkan tidak jadi. Ini ramai orang tidak faham kerana ia sangat tersirat.

CIRI-CIRI YANG LAHIR

Kemudian hendak disebutkan pula di sini, ciri-ciri yang boleh dilihat secara lahir:

1. Peribadi pemimpin kebenaran berbeza
Pemimpin kebenaran itu ibadah, akhlak, sikap dan cara hidupnya nampak berbeza dari pemimpin-pemimpin lain. Itu dapat dilihat.

2. Pengikut sangat taat
Selain itu, yang dapat dilihat ialah pengikutnya sangat taat. Bukan saja taat bahkan fanatik. Sehingga orang yang tidak senang merasa sakit hati. Hinggakan kalau zaman Sahabat itu mereka dianggap orang yang bodoh terlalu taat dan takut. Ikut sahaja. Apa sahaja yang Rasulullah cakap, para Sahabat ikut. Musuh-musuh Rasulullah ambil peluang dengan berkata bahawa itu mesti sihir dari Nabi Muhammad dan ianya mesti ajaran sesat. Kalau tidak, tidak mungkin pengikut taat melulu.

3. Yang sayang, sangat sayang dan yang benci, terlalu benci.
Begitu juga dapat dilihat orang yang benci, benci sangat dan yang sayang, sayang sangat terhadap pemimpin itu. Dua-dua mabuk. Satu mabuk cinta dan satu mabuk benci. Dua-dua tidak stabil. Yang kanan sangat manakala yang kiri, kiri sangat. Bagi sesuatu yang tidak terlalu benar, maka orang yang sayang, tidak sayang sangat dan yang benci, tidaklah benci sangat. Itu menunjukkan apa yang dibawa itu kurang benar. Ada orang benci tetapi tidak benci sangat. Ada orang suka tetapi tidak suka sangat. Tidak disebut fanatik atau taksub. Begitulah kita lihat sepanjang sejarah.

4. Pengikutnya tidak ramai
Pemimpin ini, secara lahirnya dilihat pengikutnya sedikit. Pengikut kebenaran tidak ramai tetapi pengaruh pemimpin itu besar. Ciri-ciri perjuangan kebenaran itu jumlahnya tidak besar tetapi pengaruhnya besar. Kalau bukan perjuangan kebenaran, ahlinya ramai tetapi pengaruhnya sedikit.

5. Sangat berpengaruh
Perjuangan kebenaran itu walaupun ahlinya tidak ramai, oleh kerana ia bersifat sejagat maka semua golongan ada. Bukan Melayu sahaja atau Arab sahaja atau Malaysia sahaja. Sama ada di kalangan ahli mahupun di sudut pengaruh. Kalau ada ciri itu, itulah kebenaran. Begitu juga peringkat masyarakatnya. Tidaklah hanya ada orang pandai sahaja atau orang bodoh dan orang miskin sahaja. Tidak begitu. Sebab sudah dikatakan tadi, sifat kebenaran itu global. Ahlinya pun global. Di dalamnya ada orang miskin, orang pandai, orang bodoh, orang kaya. Itulah lagi antara ciri kebenaran yang lahir.

6. Hasil perjuangannya besar
Jemaah kebenaran itu ahlinya tidak ramai tetapi hasil perjuangannya lebih banyak daripada jemaah yang bukan kebenaran walaupun ahlinya ramai. Begitu juga perjuangan kebenaran itu walaupun membawa Tuhan, membawa Islam, orang yang tidak Islam pun suka. Sebab kebenaran itu kepunyaan bersama. Islam atau tidak Islam, itu hidayah dari Tuhan, bukan hak kita. Tetapi berkaitan dengan kebenaran, kerana ia keperluan semua bangsa maka semua bangsa dan etnik boleh terima walaupun tidak Islam.

Itulah dia di antara ciri-ciri kebenaran yang tersirat dan yang lahir. Kalau kita bahaskan, banyak lagi. Tapi sekadar itu sudah cukup. Dengan itu diharapkan dapat kita bezakan antara pemimpin kebenaran dengan yang bukan kebenaran. Antara pemimpin yang benar dan tidak. Sedikit sebanyak kita sudah faham. Ertinya kita sudah mengenal pasti antara dua puak iaitu yang hak dan yang batil secara umum.

Politik Menurut Abuya Ashaari Muhammad

Hari ini umat Islam menganggap apa yang dikatakan politik itu ialah politik Barat. Ini kerana rujukan mereka pada definisi politik ialah kepada Barat. Mereka tidak lagi merujuk perkara penting ini kepada Islam, yakni Al Quran dan Sunnah. Bahkan di kalangan alim ulama dan pejuang-pejuang Islam pun, politik yang mereka faham adalah politik Barat atau sistem politik berpilihan raya.

Bila kita tanya kepada kebanyakan tokoh politik Islam, mengapa mereka turut serta dalam politik kotor Barat itu, biasanya mereka menjawab, “Tiada pilihan lain.” Ya, seolah-olah secara tidak langsung mereka menganggap Islam tidak mempunyai jalan sendiri dalam soal politik. Seolah-olah Islam tidak sempurna, ia kekurangan cara untuk berpolitik walaupun rata-rata mereka mengaku Islam itu syumul. Rasulullah telah menunjukkan jalan tersebut. Bukankah Rasul lahir di zaman politik jahiliah menguasai dunia? Namun baginda tidak pun menyertainya. Tanpa membuat alasan konon tiada pilihan lain, baginda berjuang menampilkan politik Islam, lalu membunuh politik karut itu.

Hari ini umat Islam mengamalkan politik yang tidak Islamik. Pada mereka itulah politik. Politik tidak Islamik digunakan untuk menegakkan negara Islam. Mereka menghalalkan cara. Mana-mana jemaah atau badan Islam yang tidak terlibat dalam politik Barat yang kotor itu dicap tidak berpolitik. Lalu bertungkus-lumuslah mereka berjuang atas platform yang tidak Islamik itu, yakni politik Barat.

Mereka berjuang secara pilihan raya dengan mendaftarkan diri dan kumpulan sebagai parti politik. Untuk memilih pemimpin-pemimpin yang dinamakan wakil-wakil rakyat, mereka menempuh sistem pengundian dan pemilihan dalam tempoh beberapa tahun sekali. Semua lapisan rakyat tanpa kecuali dilibatkan dalam pemilihan pemimpin atau pemerintah. Parti yang calonnya paling ramai memenangi kerusi parlimen, maka parti itulah yang berhak menubuhkan kerajaan. Tanpa mengira lagi cara-cara yang digunakan dalam proses kemenangan yang dicapai sama ada baik atau tidak. Tanpa mengambil kira peribadi-peribadi calon itu sama ada boleh memimpin atau tidak, orang baik atau orang jahat. Tanpa mengenal pasti kemungkinan adanya musuh menyamar.

Dengan tertubuhnya kerajaan, maka dilantiklah jemaah kabinet, senator, anggota dewan senat, pengerusi-pengerusi untuk institusi-institusi penting dalam kerajaan dan melantik duta-duta ke luar negara untuk perhubungan antarabangsa.

Lalu perlembagaan dan undang-undang negara akan menjadi dasar pemerintahan kerajaan pilihan raya ini dibuat sendiri oleh mereka itu. Kalaupun ada kitab rujukan, tentunya daripada Barat yang mengasaskan politik sekular ini. Sama sekali mereka tidak merujuk kepada Allah dan Rasul, yakni Al Quran dan Sunnah.

Untuk membuktikan kebenaran undang-undang yang dibuat, ianya dibentangkan di parlimen. Kemudian dibahaskan dan diundi. Bilamana dipersetujui oleh majoriti, kerana memang bilangan mereka majoriti, maka akhirnya undang-undang itu disahkan. Kalau ada suara-suara membangkang dari parti pembangkang yang menyuarakan ketidaksetujuan terhadap mana-mana undang-undang, tetap tertolak kerana tidak mendapat sokongan majoriti.

Demikianlah politik yang dipuja oleh umat Islam hari ini. Juga oleh pejuang-pejuang Islam dan ulama-ulama. Politik yang menghalalkan cara demi untuk mendapatkan kemenangan dalam perebutan jawatan. Bukan mereka tidak tahu bahawa cara-cara itu semuanya bertentangan dengan Islam, membeli undi, mengupah “gedebe-gedebe” untuk mengugut mana-mana pengundi yang dijangka tidak mengundi partinya, menuduh, memfitnah, melarikan peti undi, membohong, menghina dan sebagainya, yang digunakan oleh calon pemimpin itu, semuanya perkara-perkara haram yang dimurkai oleh Allah. Tetapi mereka halalkan semua itu dengan alasan tiada cara lain. Katanya lagi, nanti bila menang semua itu diharamkan semula.

Begitulah mereka bermain-main dengan hukum Allah SWT demi mencapai kepentingan diri, bukan kepentingan agama Allah. Mereka mengambil sebahagian hukum Allah dan menolak sebahagian yang lain. Mereka melupakan ingatan Allah Taala:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Apakah kamu mengambil sebahagian isi kitab dan menolak sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi mereka yang berbuat demikian melainkan ditimpakan kehinaan di dunia. manakala di hari Kiamat dicampakkan ke dalam azab yang pedih. Allah tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan.”
(Al Baqarah:85)

Orang-orang Islam yang berpolitik cara Barat ini menempuh jalan yang begitu kotor dan silap. Politik kotor digunakan untuk mendapatkan negara Islam, negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah mungkinkah tercapai? Sedangkan kita semua maklum bahawa kebaikan itu hanya akan didapati dengan cara baik, melalui jalan-jalan yang baik.

Air kalau di hulu sudah keruh, tentunya hilirnya juga keruh. Andaian mereka ialah sekiranya tidak menempuh laluan itu, bagaimana boleh dapatkan negara Islam? Mereka sebenarnya sengaja tidak mahu mempelajari sejarah bagaimana Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin menegakkan negara Islam.

Lalu dengan sikap-sikap aneh itu, mereka bermusuh dengan jemaah-jemaah Islam yang memulaukan politik Barat yang kotor itu. Konon kerana kelompok itu menafikan satu aspek penting dalam ajaran Islam yakni politik. Mereka seperti tidak tahu bahawa politik Islam itu mempunyai pengertian yang amat berbeza dengan apa yang mereka laksanakan. Mereka hakikatnya tidak berpolitik kerana mengamalkan sesuatu (politik) yang bertentangan dengan Islam.

Ibadah mesti menempuh lima syarat. Kalau satu saja dari syarat-syarat itu tidak dipenuhi, amalan itu tidak akan mendapat pahala ibadah. Politik yang mengikut idea-idea syaitan dan fikiran orang kafir itu sebenarnya tidak diterima di sisi Allah. Lalu hakikatnya perjuangan itu tertolak di sisi Allah. Bahkan diejek-ejek oleh manusia dan dipersoal oleh manusia.

Politik Islam sama ada yang tersirat atau tersurat, zahiriah atau maknawiah, qat’ie atau ijtihad, semuanya ada di dalam Al Quran dan Hadis. Untuk memulakan politik Islam, kita tidak perlu lagi merujuk walau seinci pun kepada mana-mana agama atau ideologi. Segala-galanya tersusun indah dan terpampang dalam sejarah. Politik itu walaupun telah pernah punah dilanyak oleh politik Barat, kerana kesalahan umat Islam sendiri, namun Insya Allah ia mampu bangun semula. Ia akan sekali lagi menguasai dunia bersama kebangkitan Islam kali kedua yang sedang hebat melanda dunia kini.

Saya sebenarnya sudah lama menyimpan keyakinan perihal adanya definisi dan kaedah politik Islam yang tersendiri dan amat berbeza dengan politik sekular itu. Namun baru kini saya mahu melahirkan keyakinan itu dalam buku yang dinamakan “Politik Islam Membawa Kasih Sayang” ini. Yakni sesudah saya cuba membuktikan keyakinan itu dalam sikap dan realiti hidup. Pengalaman membangunkan jemaah Darul Arqam, kemudian bersambung lagi dalam Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd ini, selama 40 tahun sudah cukup untuk memberanikan saya membentang tentang politik Islam seperti yang saya yakini ini kepada masyarakat. Moga-moga ianya bermanfaat dan membantu mempercepatkan proses kebangkitan Islam akhir zaman ini.

Usaha kecil ini ya Allah, moga-moga menjadi ibadah hamba pada-Mu. Ampunkan segala kesilapan dan keterlanjuran. Pahalanya, jika ada ya Allah, sampaikanlah kepada Rasulullah SAW, Syeikh Tareqatku; Muhammad bin Abdullah As Suhaimi, guru-guruku, kedua ibu-bapaku dan mereka yang pernah berjasa kepadaku. Faedah dari buku ini moga-moga diperolehi oleh seluruh saudaraku kaum muslimin dan muslimat yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Amin ya Allah ya Rabbal’Alamin.

Hamba yang lemah dan berdosa,
ASHAARI MUHAMMAD.

Mukaddimah

Perkataan ‘Politik’ asalnya dari bahasa Latin atau Greek tua. Namun ia diterima sebagai bahasa antarabangsa. Semua bangsa di dunia menyebut perkataan politik. Dan kebanyakan negara di dunia menyebut perkataan politik. Dan kebanyakan negara di dunia memahami dan melaksanakan politik dengan maksud yang begitu sempit dan silap sekali.

Politik pada umum manusia diertikan sebagai perbuatan merebut jawatan untuk memerintah negara. Bentuk dan sistem pemerintahan negara yang akan dilaksanakan selepas mendapat jawatan itu tidak diberi perhatian serius. Bahkan tidak diheboh-hebohkan sebagaimana diheboh-hebohkan kerja-kerja untuk mendapatkan jawatan.

Berpolitik telah dipesongkan maknanya sebagai menyertai mana-mana badan politik untuk ikut serta dalam pilihan raya. Orang politik difahamkan sebagai orang yang ada parti politik atau menjadi ahli mana-mana parti dan ikut serta dalam pilihan raya yang berlangsung beberapa tahun sekali. Kemudian sama ada dia menang atau tidak dalam undian untuk jadi wakil rakyat atau sekadar menjadi ahli biasa saja, itulah orang yang kononnya dikatakan orang politik. Sebaliknya orang yang tidak berpolitik itu difahamkan sebagai orang yang tidak menjadi ahli mana-mana badan politik, tidak mengundi dan tentunya tidak jadi calon dalam pilihanraya. Oleh kerana erti politik mengikut pandangan umum ialah sistem pilihan raya kerana hendak berkuasa. Oleh kerana terlalu hendakkan kuasa dalam pilihan raya, mereka menghalalkan cara. Cara halal atau haram, cara kotor atau bersih, menghuru-harakan suasana atau melakukan tipu daya, semua boleh mereka lakukan. Yang penting menang dalam pilihan raya. Setengah-setengah tempat, bunuh orang pun tidak mengapa. Rasuah pun tidak mengapa. Membeli undi pun dilakukan juga.

Sebenarnya erti politik itu dalam bahasa Islam (Arab) ialah ‘siasah’. Dalam kamus, ’siasah’ diertikan sebagai ilmu pentadbiran. Dengan kata lain, politik itu ialah mentadbir. Atau boleh juga dikatakan politik ialah – memikirkan bagaimana hendak mewujudkan segala aspek pembangunan yang berkaitan dengan manusia, sama ada pembangunan insaniah mahupun pembangunan material. Juga untuk membina ukhwah dan kasih sayang antara sesama manusia kerana ukhwah dan kasih sayang itu adalah asas kemakmuran. Dan juga pembangunan yang sudah dapat diwujudkan itu dijaga dan diurus agar dapat dipertahankan dan kekal serta kalau boleh, diusahakan supaya terus berkembang maju. Supaya dengan itu berlakulah peningkatan tamadun rohaniah dan material dalam hidup manusia yang hasilnya memberi manfaat yang luas serta membawa berbagai-bagai kebaikan dan kemudahan kepada manusia. Terutamanya mewujudkan kasih sayang, supaya masyarakat aman damai dan harmoni.

Demikianlah mulia dan hebatnya apa yang diistilahkan sebagai politik atau siasah dalam Islam. Sesuai dengan fitrah semula jadi manusia, tidak kira apa bangsa dan agama. Dan alangkah besarnya pahala ibadah yang didapati oleh orang yang berpolitik bentuk ini, yang mengikut lunas-lunas Islam terutama kalau mereka itu orang nombor satu. Kalau bukan orang nombor satu, setidak-tidaknya mereka hidup aman damai dan berkasih sayang di antara etnik dan bangsa dan di antara berlainan fahaman agama. Kerana dalam sistem ini manusia bukan lagi berebut dan bergaduh kerana jawatan tetapi berlumba-Iumba untuk membuat kebaikan.

Supaya lebih difahami tentang erti politik yang sebenarnya, mari kita lanjutkan huraian tentangnya. Untuk melaksanakan politik atau untuk menjadi orang politik, kita mestilah melakukan kerja-kerja mentadbir sama ada mentadbir manusia itu sendiri atau hal-hal yang berkaitan dengan manusia. Yakni mengendalikan persoalan-persoalan kehidupan dari yang kecil hinggalah kepada persoalan alam sejagat. Di antara peringkat-peringkat kehidupan yang mesti ditadbir itu ialah:

1. Politik rumah tangga
2. Politik jemaah
3. Politik negeri
4. Politik negara
5. Politik ummah (sejagat)

Manakala di dalam tiap-tiap peringkat tadi terdapat lagi berbagai-bagai pecahan bidang yang ditadbir secara khusus. Di antaranya:

1. Politik pendidikan
2. Politik kebudayaan
3. Politik penternakan
4. Politik kesihatan
5. Politik ekonomi
6. Politik pertanian
7. Politik kepolisian
8. Politik kenegaraan

Dengan itu fahamlah kita bahawa golongan politik bukan mereka yang ada kuasa memerintah atau yang masuk parti politik sahaja, tetapi mencakupi semua golongan pentadbir. Cuma biasanya golongan pemerintah ialah pembuat polisi atau dasar pentadbiran. Manakala golongan pelaksana itu ialah mereka yang menjalankan polisi dan dasar yang di arahkan.
Seorang yang memiliki 20 ekor kambing, kemudian mentadbir kambing-kambing itu hingga dapat makan dan minum dengan cukup, dapat tempat tinggal, keselesaan dan perlindungan, kesihatan, tidak mengganggu jiran dan sebagainya, hingga kambing-kambing itu hidup subur, membiak dan memberi hasil yang banyak, dan tidak memudaratkan orang lain maka itulah dia orang politik penternakan yang sangat baik dan berjaya. Dia hakikatnya orang politik di bidangnya. Walaupun dia tidak ada apa-apa jawatan, tidak masuk pilihan raya, tidak jadi calon, namun hakikatnya dia berpolitik dan berilmu politik yang baik dan yang sebenarnya.

Demikianlah juga dengan orang lain di bidang lain. Sekiranya dia melakukan kerja mentadbir dengan baik dan tidak mengorbankan kasih sayang, dia ialah orang politik yang sebenarnya. Dia selamat dan menyelamatkan. Sebaliknya seorang wakil rakyat yang telah menang dalam pilihan raya, kalau dia tidak ada sebarang projek untuk ditadbir, tidak mengusahakan untuk mendidik manusia dan tidak ada pembangunan untuk dimajukan bagi kepentingan rakyat, maka hakikatnya dia bukan orang politik. Kalau setakat memberi wang pada rakyat supaya rakyat bangunkan projek, itu belum layak untuk dikatakan berpolitik. Sekurang-kurangnya dia mesti mendidik rohaniah rakyat, memberi idea, menunjuk cara, mengatasi masalah dan ikut serta dalam jatuh bangun mengendalikan sesebuah projek. Kalau timbul masalah, dia tahu bagaimana menghadapinya dengan sebaiknya dengan tidak mengorbankan kasih sayang. Barulah mungkin wakil rakyat tersebut boleh dinamakan orang politik yang sebenarnya.

Demikianlah dengan contoh-contoh lain di bidangnya. Sekalipun seorang menteri, kalau dia tidak mentadbir, yakni tidak mengusahakan pembangunan insan dan material untuk rakyat, tetapi hanya setakat mentadbir pejabat, atau dia mentadbir dengan mengorbankan kasih sayang, hakikatnya dia bukan orang politik. Atau dia boleh dikatakan orang politik yang tidak berpolitik.

Saya perhatikan di negara-negara seluruh dunia hari ini, ramai sekali orang politik yang tidak berpolitik. Mereka ini mendapat untung dari jawatannya tetapi sedikit sekali memberi keuntungan kepada negara dan rakyat. Setengah-setengah mereka pula bukan saja tidak menguntungkan negara tetapi merugikan dan buat masalah yang besar-besar pada negara. Mereka menggugat perpaduan dan kasih sayang antara rakyat. Golongan ini bukan sahaja orang politik yang tidak berpolitik tetapi suka saya istilahkan sebagai orang politik yang jadi perosak dan pengacau negara. Tetapi malang sekali rakyat seperti tidak sedar atas penipuan dan kesalahan ini. Rakyat terus digula-gulakan untuk terus mengangkat atau mengundi orang-orang yang berpura-pura itu sebagai ketua atau pemimpin mereka. Hingga begitu sekali dunia politik ini dikotori dan disalahgunakan dengan menjual nama Islam. Islam tidak menyuruh kita berpolitik kotor seperti itu. Islam sangat menjaga kasih sayang. Kasih sayang itu kepunyaan sejagat atau kepunyaan bersama. Semua bangsa, semua etnik, semua fahaman agama memerlukannya.

Sebaliknya terdapat pula golongan manusia yang sibuk membangun dan merancang bermacam-macam projek dan aktiviti seperti membangunkan kompleks pendidikan, eko­nomi, hospital dan klinik, kilang-kilang dan kedai perniagaan, media massa, perkampungan, pejabat, aktiviti ternakan, per­tanian, dakwah, kepimpinan, kebajikan dan lain-lain lagi hingga tercetusnya satu sistem masyarakat. Bahkan mereka bagaikan sebuah kerajaan. Namun mereka diselar sebagai golongan tidak berpolitik. Mereka dikatakan tidak berjuang dan bersalah kerana menafikan satu aspek penting dalam Islam iaitu politik. Padahal mereka itulah orang politik yang sebenarnya. Walaupun sudah begitu gah dan masyhur perihal pembangunan masyarakat dan khidmat-khidmat yang mereka sumbangkan, namun mereka tetap dikatakan bukan golongan politik. Walau sudah jelas kemampuan kepimpinan mereka, pun tetap masih dituduh tidak berpolitik hanya kerana mereka tidak masuk parti politik. Seolah-olah seorang yang dilihat mencangkul, menanam, menjaga dan memetik hasil tanaman, kemudian dia dituduh bukan petani kerana dia tidak masuk institusi pertanian dan tidak ada sijil pertanian. Munasabah kah?

Begitu sekali tertutupnya fikiran dan mata hati manusia dalam melihat erti politik yang sebenar. Ini adalah kerana kesilapan cara menilai yang sudah dipaksakan atas mereka sekian lama. Mereka hanya difahamkan tentang politik sekular Barat. Rakyat patut sedar termasuk orang Islam sendiri yang bersikap sedemikian itu bahawa sebenarnya mereka yakni golongan yang disebut di atas itulah orang-orang politik. Walaupun pasti golongan mereka tidak didaftarkan sebagai parti politik tetapi hakikatnya merekalah orang politik yang sebenar yang tidak ada parti. Mereka menempuh satu kaedah politik atau satu sistem politik yang berbeza dengan politik Barat. Inilah definisi dan pendekatan politik yang lebih tepat dan bijak. Dan masyarakat perlu diputar fikiran mereka untuk melihat kebenaran ini. Supaya kita tidak selamanya tertipu oleh Barat dan Yahudi. Moga-moga Tuhan izinkan buku ini membawa mesej kebenaran tentang kekeliruan umat dan kesalahan menilai erti politik. Moga-moga dengan itu kita dapat kenal siapakah sebenarnya orang politik dan siapa yang bukan. Dan seterusnya dapat kita tahu bagaimana cara-cara berpolitik yang sebenarnya…

Petikan dari buku “Politik Islam Membawa Kasih Sayang” oleh Abuya Ashaari Muhammad.