Archive | April 2013

Sajak: Agama Adalah Seluruh Kehidupan

Agama adalah seluruh kehidupan
Ada yang lahir ada yang batin
Iman, Islam dan Ihsan adalah patinya atau ajaran terpokok
Pecahan dari tiga aspek tadi yang merupakan satu pakej jadilah agama itu
Luasnya seluruh kehidupan
Adakalanya disebut hablumminallah wahablumminannas

Hablumminallah adalah asas dan tapak agama dari Tuhan
Hablumminannas adalah cabangnya atau buah daripada hablumminallah
Ertinya agama itu ia berlaku dan mesti berlaku di mana-mana
Di dalam masjid sudah tentu semua orang tahu
Ia berlaku di pejabat, di pasar, di tengah masyarakat, di dalam perjuangan, di dalam kebudayaan dan perhubungan
Di dalam rumahtangga, di dalam perhubungan, di dalam negara atau antarabangsa
Berlaku di dalam jiran tetangga, di dalam pendidikan formal atau tidak formal

Berkasih sayang, rasa bersama bekerjasama, bersatu-padu adalah agama
Di dalam perhimpunan, di dalam perayaan, di dalam mesyuarat,
di dalam bersukan mesti ada agama
Bertimbang rasa, perikemanusiaan, bertolak ansur, berlapang dada agama juga

Di waktu memandu di jalanraya, membersihkan bandar, ketika bertugas menjadi nelayan, bekerja di kilang semuanya agama
Mentadbir negara, menjaga negara, menjaga keselamatan dan keamanan juga agama
Berkawan, berkenalan, berbual, makan, rehat-rehat, tidur dan baring adalah agama

Begitulah luasnya agama, tidak seperti yang difaham selama ini oleh kita
Tanggapan ramai orang Islam agama itu hanya semata-mata ibadah rukun Islam serta sunat-sunatnya
Kalau agama itu berlaku di mana-mana, selagi berlaku syariat Tuhan sebagai disiplinnya itu ibadah umumlah namanya

Ertinya agama atau ibadah itu berlaku di udara, di darat, di laut, di hutan, di bukit, di gunung, di padang pasir, selagi ada manusia
Kalau agama berlaku di mana-mana ertinya ibadah umum berlaku di mana-mana sahaja selagi ada manusia
Sekiranya agama berlaku di mana-mana sahaja selamatlah manusia

Kerana maknanya agama itu; tidak kacau, mengikut bahasa Sanskrit
Ertinya orang beragama tidak huru-hara di dalam kehidupan, ertinya aman damai, harmoni, bahagia
Tapi makna agama itu telah dipersempit, maka manusia hidup huru-hara di mana-mana bahkan berlaku di masjid
Kerana itulah umat Islam hina di mana-mana kerana agama yang diamalkan selama ini adalah sempit

4.3.2004 – 1
Menjelang Zuhur

Advertisements

Sajak: Caraku Lain, Caramu Lain

Apakah engkau ingat aku setuju
Dengan orang yang zalim dan penzaliman?!
Apakah engkau anggap aku tidak berjuang
Menentang kezaliman dan pemimpin yang zalim
Jangan-jangan dengan izin Allah Taala aku lebih menentang darimu
Cuma jalan dan cara aku lain
Dan jalanmu lain

Mungkin caraku lebih benar dari caramu
Engkau melepaskan kemarahan
Sedangkan Islam menyuruh menyembunyikan kemarahan
Aku marahkan diriku sendiri
Mungkin kerana dosaku dan dosa orang lain juga
Allah datangkan pemimpin yang zalim

Kerana itu aku lawan kezaliman dengan membaiki diri
Serta aku ajak pengikut-pengikutku
Aku mendoakan mereka yang zalim
Bukan memaki-hamun
Tidakkah kamu tahu, di dalam kitab ada menyatakan
Bahawa apabila rakyat sudah jahat
Allah hukum mereka dengan didatangkan pemimpin yang zalim

Ertinya kejahatan pemimpin itu kerana kejahatan kita
Kezaliman pemimpin itu kerana kezaliman kita
Mungkin caraku ini nafsumu tidak setuju
Tapi jiwa yang murni menerima
Yang lebih baik, baikilah diri

Kalau mampu nasihat, nasihatkan mereka
Di samping doakan
Bukan melepaskan marah
Tidak juga melepaskan geram
Jangan kejahatan dibalas dengan kejahatan
Jangan dendam dibalas dengan dendam

Biarlah penzalim itu mengorbankan akhlaknya
Tapi kita menegakkan akhlak
Nanti orang ramai akan melihat dan menilai
Allah dan Rasul sudah pasti menilai

Bila bunga diri ada pada kita
Insya-Allah, rakyat akan menolak mereka dan menerima kita
Begitulah caranya berhadapan dengan penzalim dan kezaliman
Memang nafsu tidak boleh terima
Tapi orang yang jiwa murni pasti menerimanya

Selepas Zuhur
29.7.99

Oleh: Abuya Ashaari Muhammad

Sistem Pendidikan Perlu Dikaji Semula?

Kali ini aku ingin memberi pandangan tentang pendidikan hari ini. Kerana, pendidikan adalah nadi kehidupan, tulang belakang bagi pembangunan agama, bangsa dan negara. Aku tidaklah berpandangan jauh sangat. Tapi, hasil pendidikan yang aku lalui, aku jadi peka dengan perkembangan semasa, melihat dari semua sudut, lebih-lebih lagi menurut pandangan Tuhan. Oh, bukannya aku perasan aku ni wali ke, atau apa-apa yang special, cuma, aku dididik oleh seorang manusia yang sangat dekat dengan Tuhan. Jadi, setiap apa yang berlaku, firstly kenalah kaitkan dengan Tuhan. Bukankah Dia Tuhan yang menciptakan kita, menentukan hidup mati kita?

Pendidikan yang sejati adalah pendidikan yang membawa kita menuju Allah. Itu secara dasarnya. Kata Allah di dalam Al-Quran, awal-awal agama mengenal Allah. Rasulullah ketika mula-mula ditabalkan menjadi Rasul, baginda mengambil masa selama 13 tahun untuk mengenalkan Tuhan kepada para Sahabat di zaman itu. Hingga, setelah mereka benar-benar kenal, cinta dan takutkan Tuhan hingga sanggup mati pula memperjuangkanNya. Setelah itu, barulah Rasulullah mengajarkan syariat kepada para Sahabat. Iaitu, setelah hati sudah cinta kepada Tuhan, maka anggota lahir akan didorong-dorong untuk melaksanakan perintah dengan taat setaat-taatnya. Perintah termasuklah perintah suruh dan perintah larang.

Selepas itu, barulah lahir para Sahabat yang memiliki peribadi agung, berakhlak tinggi, bahkan semua sifat-sifat mahmudah terkumpul dalam diri mereka. Siapa yang mengajarkan semua ini kepada mereka? Sudah tentulah Rasulullah SAW sebagai utusan Allah, wakil Tuhan untuk menjadi contoh bagi segala contoh di dalam kehidupan mereka. Formula yang Rasulullah gunakan adalah seperti yang disebutkan di atas, iaitu menanamkan rasa cinta dan takutkan Tuhan ke dalam hati para Sahabat sehingga mereka sanggup untuk taat setaat-taatnya dalam melaksanakan syariat.

Rasul itu, sudah tentulah baginda sendiri orang yang paling kenal, cinta dan takutkan Tuhan, hingga terpindahlah rasa-rasa itu ke dalam hati para Sahabat. Rasulullah lah orang yang paling hampir dengan Tuhan, paling kenal Tuhan, paling takut Tuhan, paling cinta Tuhan. Sebab itulah baginda mampu memindahkan rasa-rasa itu kepada para Sahabat pula. Walaupun ketika itu, musuh-musuh yang menghalang terlalulah ramai. Berkali-kali baginda hendak dibunuh, namun tak diizinkan Tuhan, kerana baginda adalah kekasihNya. Tahulah Tuhan hendak buat apa untuk melindungi kekasihNya.

Setelah para Sahabat cukup syarat, maka bertebaranlah para Sahabat, dihantar oleh Rasulullah ke tiga suku dunia untuk menyebarkan Islam. Bahkan ramai dari kalangan para Sahabat yang makamnya di luar Jazirah Arab.

Itu adalah antara kisah benar ataupun sejarah yang berlaku pada zaman Rasulullah masih hidup dan selepas baginda wafat. Yang mana, hasil didikan Rasulullah yang sungguh berkesan, sungguh agung, maka telah melahirkan para Sahabat yang sanggup mati untuk Islam, yang kerana jasa merekalah Islam itu sampai ke tangan kita! Ini adalah sejarah yang paling agung. Hinggakan, kehebatan Rasulullah dan para Sahabat, disebut-sebut hingga ke hari ini, walaupun mereka sudah lama meninggalkan kita. Wujudkah dalam dunia ini, kehebatan hasil sistem pendidikan yang disebut orang zaman berzaman selain daripada sejarah Rasulullah ini? Jika ada, sila sebutkan.

Mana ada! Jangan ada di kalangan kita yang nak menafikannya. Terima sajalah hakikat itu. Yahudi, yang sudah lama mengharapkan nabi akhir zaman itu lahir di kalangan mereka pun akhirnya bermusuh dengan baginda Rasul kerana perasaan dengki yang amat sangat. Kerana apa? Kerana mereka sangat tidak mampu menerima hakikat bahawa, Nabi Akhir zaman itu lahir dari kalangan bangsa Arab. Yang mana, bangsa Arab ketika itu adalah bangsa yang mundur, tidak bertamadun. Tapi, kedatangan Rasulullah telah merubah semuanya. Bangsa Arab menjadi bangsa yang maju, menguasai 3/4 dunia, bangsa yang bertamadun tinggi, hasil didikan yang sungguh agung oleh Rasul yang tidak perlu menulis dan membaca. Kerana baginda dapat ilmu bukan dari akalnya sendiri, tapi ilmu wahyu. Ilmu direct dari Tuhan.

Jadi, kalau kita ingin melihat berjaya atau tidaknya pendidikan sesuatu bangsa atau negara, kita lihatlah hasilnya. Pendidikan yang berkesan, buahnya tentulah melahirkan manusia yang sangat memberi manfaat kepada manusia lain di dalam semua aspek kehidupan. Kalaulah kita lihat Rasulullah berjaya melahirkan para Sahabat yang mampu mengIslamkan 3/4 dunia, tentulah ia bermula dari pendidikan.

Tapi, kenapa umat hari ini, khususnya di negara kita Malaysia, dilihat sungguh tak berwibawa? Kalau kita celikkan mata dan hati, kita sedang melihat keruntuhan bangsa kita sendiri. Betul atau tidak? Hanya orang buta atau orang yang tidak peka saja yang akan berkata, Oh, bangsa kita kan sedang maju dan berjaya.

Masalahnya, orang yang ‘buta dan pekak’ inilah yang menerajui pendidikan negara! Krisis nilai sedang berlaku. Kita sudah tak pandai lagi membezakan mana kaca mana permata. Apa yang berlaku, umat Islam di Malaysia, setelah merdeka lebih-lebih lagi sangat cenderung kepada pendidikan cara Barat. Kalau pendidikan berasaskan Islam pun, masih lagi berkiblatkan Barat. Rasulullah dan para Sahabat yang telah sangat berjasa itu kian dilupakan orang, jasa dan kehebatan mereka. Formula pendidikan Rasulullah itu seperti tiada siapa yang mahu ambil kira. Kenapa? Kerana, dewasa ini, orang lebih suka kagumkan Barat. Lebih suka meniru Barat dalam semua sudut. Macam dah tak ada contoh lain. Seolah-olah tiada nabi untuk dicontohi. Seolah-olah, Islam itu tak lengkap, tak cukup cara untuk mendidik umatnya. Maka berlakulah, umat Islam hari ini, kalau nak hantar anak belajar, dihantarlah anak tu ke negara-negara orang kafir. Yang mana, anak-anak tu bila balik, kita pun suruhlah dia boikot bermacam-macam program Barat. Padahal separuh akalnya telah pun diBaratkan. Dengan kata lebih tepat, diYahudikan.

Cuba kita lihat paparan akhbar setiap hari, pasti ada saja kes zina, rogol, maksiat sana, maksiat sini, kerosakan moral di mana-mana. Itulah BUAH atau HASIL pendidikan. Patutnya, bila dah berlaku kes-kes macam tu, apa yang dibuat adalah, kaji semula silibus pendidikan atau, kaji sajalah sistemnya semua sekali, kalau perlu rombak di mana-mana, rombak sajalah. Kalau perlu, pusinglah satu dunia untuk mengkaji sistem pendidikan mereka. Asalkan pendidikan itu berjaya, hasilnya dapat dilihat oleh semua orang. Lihat kepada hasilnya dulu. Kalau negara itu lebih ramai penzina, kaki mabuk, rasuah, perompak, pembunuh dan penjenayah daripada ulama, maka eloklah tak payah ditiru langsung. Lebih-lebih lagi jika negara itu negara kafir. Sampai bila nak mengubat dan merawat masalah. Patut, carilah kaedah untuk mencegah. Bukankah mencegah lebih baik dari mengubati. Contohnya, patut pergilah lihat ke sekolah-sekolah, tengok apa yang anak murid buat, dari pagi sampai petang. Bahkan dari bangun tidur sampai tidur semula. Apa yang mereka lakukan? Kenapa sampai ada kes, remaja umur 12-13 tahun dah jadi pelacur pun mak ayah tak tahu? Kenapa sampai, remaja berzina di tandas sekolah? Kenapa sampai murid ramai-ramai boleh belasah guru? Kenapa boleh terjadi guru rogol murid? Adakah matlamat sistem pendidikan kita, nak lahirkan cerdik pandai tapi penzina?!!! Atau, nak lahirkan seramai-ramai doktor pakar tapi kaki mabuk? Atau nak lahirkan tenaga-tenaga pakar yang akhirnya sembahyang pun setahun sekali? Mana satu target kita? Adakah kita sanggup untuk terima hakikat negara kita akan diwarisi oleh keturunan zina? Adakah kita sanggup untuk redhakan saja kalau negara kita diterajui oleh orang-orang yang malas sembahyang?! Ke mana hala tuju pendidikan kita? Sampai bila nak berkiblatkan pendidikan Barat yang sudah terang lagi bersuluh menyekutukan Allah?

Inilah hasilnya. Sekarang kita sedang mengutip buah-buah atau hasil dari pendidikan yang sangat rosak sebenarnya. Sampai bila kita nak makan buah yang busuk, pahit, masam? Kenapa buah jadi busuk? Sebab tak jaga pokok dari akarnya. Kita hanya targetkan buah saja. Bagaimana pokok itu membesar, langsung kita tak ambil pusing.

Aku masih ingat, sejak kecil lagi arwah abah dan mak, sangat tegas dalam bab sembahyang. Aku sekadar ingin kongsikan pengalaman aku dididik dari rumah. Kalaulah balik saja dari sekolah sesi petang, abah akan tanya, sembahyang Asar pukul berapa tadi? Abah tak pernah tanya pun, kat sekolah belajar apa, cikgu garang tak, makan apa. Mak pun macam tu. kalau abah takde, itulah soalannya. Aku ni, punyalah takut kalau sembahyang lewat. Takkanlah dah balik nak tipu mak ayah pulak. Jadi, perasaan takut itulah akhirnya terbawa-bawa hinggalah aku besar dan bersekolah pula di sekolah berasrama Abuya.

Di sekolah Abuya, disiplin ibadahlah yang paling dijaga. Sistemnya berbeza sungguh dengan sekolah-sekolah lain. Silibus pembelajarannya pula, sangat menekankan rasa-rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Maka, tidak peliklah gejala sosial hampir tidak berlaku di kalangan pelajar ketika itu.

Aku tidak mahu mengulas panjang apa yang aku lalui. Cuma, bagiku, untuk menjadi seorang Muslim yang terbaik, perkara yang terpokok adalah kenal, cinta dan takutkan Tuhan. Selepas itu cinta pula pada Rasulullah SAW. Dan selepas itu melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Tuhan dengan penuh taat. Seterusnya, menjalani kehidupan menurut sistem yang telah dilalui oleh Rasulullah dan para Sahabat di zaman mereka. Islam di semua sudut kehidupan. Bagiku, itulah dia pendidikan yang sejati. Mencakupi, meliputi semua aspek kehidupan, tanpa ada satu pun yang tertinggal. Malangnya, berapa ramai manusia di zaman ini yang faham formula ini? Yang betul-betul beramal? Orang yang faham formula ini di zaman ini, satu-satunya, ialah Abuya. Beliaulah yang telah ‘merombak’ sistem pendidikan melalui jemaahnya. Aku, termasuklah orang yang berpeluang bernaung di bawah sistem itu, yang membolehkan aku sekurang-kurangnya faham, yakin dan seterusnya melaksanakan sistem ini. Tapi malang, menghidupkan sistem baru di saat sistem Barat sedang menguasai dunia, ibarat menggenggam bara api hingga menjadi abu. Berapa ramai saja yang faham sistem yang Abuya bawa? Lebih ramai yang mengata, mengkritik, menuduh sesat tanpa usul periksa. Dan lebih parah lagi, menutup pula sekolah-sekolah yang pernah Abuya bangunkan. Tapi Abuya tak putus asa, sistem itu telah mendarah daging dalam tubuhnya, dibangunkan juga walaupun dihalang. Akhirnya sekarang ini terbukti, anak-anak murid hasil didikan sistem Abuya yang tersendiri yakni menurut kaedah dan formula yang Rasulullah gunakan, sekarang bertebaran hampir seluruh pelusuk dunia. Menyambung perjuangan yang Abuya bina. Betapa berjayanya Abuya dalam melaksanakan sistemnya walaupun bilangan yang mendokongnya sangatlah sedikit. Hasilnya lagi, pengikut Abuya pula, mampu untuk taat setaat-taatnya dalam melaksanakan arahan. Bukankah itu murid sejati namanya?

Jadi, aku ingin mengajak pembaca semua untuk renungkan semula kaedah atau sistem pendidikan yang sudah nazak menanti ajal akibat sudah tidak berfungsi lagi di dalam kehidupan kita. Hanya melahirkan individu yang mungkin cemerlang di dunia, namun dibimbangi akan malang di Akhirat nanti. Pernah ke kita jumpa silibus khas untuk mengajar sembahyang hingga sampai datang rasa cinta dan takut pada Allah? Rata-rata sekolah hari ini, sembahyang dikebelakangkan. Pelajar-pelajar pulang ke rumah pukul 2.30 petang dalam keadaan belum bersembahyang Zohor! Bahkan sekolah yang so-called Islamic pun terjerumus ke dalam arus sembahyang Zohor lewat. Pernahkah kita terfikir untuk merubah sistem ini? Hanya Abuya saja yang setakat ini yang betul-betul menekankan soal sembahyang dan penghayatannya di dalam sistem pendidikan yang dibawanya.

Setakat ini saja yang ingin aku coretkan. Moga ada kebaikannya untuk kita semua. Moga dapat membuka minda kita semua, dan dapat membuat perubahan walaupun sedikit. Ampun maaf semua, wassalam.

Sajak: Adil Bukan Seimbang

Adil bukan ertinya seimbang
Tidak juga bererti ukuran sama panjang
Definisi ini adalah tanggapan biasa yang lumrah kita terima
Bukan takrif yang dikehendaki oleh Islam
Erti adil meletakkan sesuatu itu sesuai dengan tempatnya atau kedudukannya
Iaitu utama mesti diutamakan
Yang tidak utama mesti dikemudiankan
Yang penting didahulukan, yang tidak penting dibelakangkan
Yang wajib diutamakan, yang sunat atau yang harus ditinggalkan jika berlaku di dalam satu keadaan
Mungkin tidak boleh difaham jika tidak dihuraikan

Mari kita menghurai agar kita faham
Adil yang paling besar atau super adil
Allah Taala kita jadikan sebagai Tuhan
Kita sembah, kita besarkan, kita puja sepanjang masa
Kita cinta dan kita takut dan ingat serta sebut di mana-mana
Jangan jadikan selain Allah Tuhan, atau kita utamakan dan besarkan lebih darinya
Adil martabat tinggi syariat Tuhan diutamakan atau didahulukan
Atau hak Tuhan kita dahulukan
Peraturan manusia ditinggalkan
Hak Tuhan kita utamakan hak manusia kita kemudiankan

Adil martabat rendah ialah mengikut faham biasa
Adil martabat kedua mendahulukan hak ibu bapa dari kita
Guru-guru kita juga patut diutamakan dari kepentingan kita
Mendahulukan hak suami dari kita adalah utama dan mulia
Jika berkongsi berniaga saham sama banyaknya untung bagi dua
Kalau saham tidak sama untung diberi mengikut saham sedikit banyaknya
Jawatan yang hendak diberi kepada seseorang sesuai dengan kebolehannya
Gaji diberi sesuai dengan jawatan dan tanggungjawab

Inilah dia erti adil dan keadilan
Tapi kita sedih adil yang diperjuangkan oleh para pejuang adil martabat rendah
Super adil dan adil martabat tinggi tidak diendah
Bermati-matian keadilan peringkat rendah diperjuangkan hingga sanggup menumpahkan darah
Keadilan martabat tinggi dan super adil diabaikan dan tidak diendah

4.9.99
Menjelang Tidur
Oleh: Abuya Ashaari Muhammad

Aku Komen…

Aku bukanlah seorang yang pernah berkecimpung dalam hal-hal kewartawanan atau dunia media ni. Tapi aku tergerak untuk menulis sedikit tentangnya. Melihatkan atau membaca akhbar hari ini pun sudah memualkan tekak yang membaca. Tak kiralah isu semasa ke, politik ke, hiburan, hatta bidang agama pun terheret sama.

Akhbar atau media-media cetak sekarang terdiri daripada berbagai kategori dari sudut pengisiannya. Pembacanya juga terdiri daripada berbagai lapisan masyarakat.

Oleh kerana sekarang ini era internet, ditambah pula dengan kebanjiran produk-produk telefon pintar atau smartphone yg memudahkan internet diakses dari mana-mana pada bila-bila masa, maka wujudlah pula media baru iaitu blog, laman sosial, laman web dan sebagainya.

Oleh yang demikian, akhbar-akhbar semakin kurang sambutannya. Bahkan walaupun syarikat akhbar juga mempunyai laman web tersendiri, mereka terpaksa bersaing dengan media-media baru yang kian merecup tumbuh. Wartawan-wartawan tanpa tauliah, bebas membuat berita di blog atau laman sosial masing-masing. Tak kiralah isu apa sekalipun, asalkan beritanya menarik, boleh saja diakses tanpa sekatan.

Ini membuatkan media-media utama semakin kehilangan(?) pembaca. Ditambah pula dengan nilai berita-berita yang dipaparkan, menambahkan lagi alasan untuk pembaca malas membazir seringgit dua untuk mendapatkan akhbar yang akhirnya jadi bahan pencucuh dapur gas je.

Menyebut tentang berita-berita yang disiarkan, membaca saja akhbar, aku seperti ‘membaca’ perihal wartawan yang terdesak mencari berita untuk dimuatkan dalam akhbar. Jadi, bila wartawan sudah terdesak cari berita, atau dirasakan macam keuntungan semakin merudum, terpaksalah membawakan berita-berita yang menarik walaupun kurang sahih.

Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia ini, ada pembaca yang buta-buta je terus ‘termakan’ apa yang akhbar-akhbar paparkan. Pembaca yang sekolah tak habis, duduk ceruk kampung, ilmu agama pun kurang, buta IT pulak tu,.. mereka inilah yang takkan pergi selidik search kat google utk tau kesahihan sesebuah berita. Percaya je terus.

Lebih teruk lagi kalau berita itu disampaikan pula kepada kawan-kawan, ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga yang mempunyai tahap pemikiran yang sama. Parahla jawabnya. Berita yang tak sahih tadi dah diset dalam minda masing-masing. Nak betulkan balik bukannya senang.

Cerita politik yang tak pernah bernoktah, skandal sana sini, fitnah-memfitnah, tuduh menuduh, kata mengata, cerita-cerita aib, gejala-gejala sosial, gambar-gambar dan gosip-gosip artis yang menjolok mata, laman nombor ekor; semuanya anda boleh dapatkan dalam senaskhah akhbar.

Jadi di sini,di sudut manakah yang boleh dipercayai kesahihan akhbar itu sedang pada masa yang sama membawa fitnah, maksiat dan kemungkaran? Lebih parah lagi jika wartawan-wartawan mendapat upah untuk menjatuhkan seseorang tokoh atau pertubuhan. Akan terdedahlah cerita-cerita yang tidak patut langsung ditatap oleh masyarakat awam.

Sepatutnya, akhbarlah yang paling menjadi wadah untuk mendidik masyarakat. Berita-berita yang dibawakan sepatutnya menjadi bahan rujukan bukan sekadar isu semasa dalam dan luar negara, tetapi juga menjadi penghubung antara masyarakat dengan pemimpin. Akhbar juga sepatutnya menjadi pendamai antara tokoh-tokoh atau pertubuhan-pertubuhan atau parti politik yang sedang berperang, bukannya mencurahkan minyak ke dalam api.

Namun, kesalnya akhbar sekarang lebih suka memaparkan isu-isu yang panas untuk menarik perhatian pembaca. Soal dosa pahala sudah tiada dalam senarai perkara yang patut diambil kira. Jelaslah di sini, akhbar atau media lebih meniru gaya Barat dalam menulis, mengulas atau mempersembahkan sesuatu isu. Iaitu mementingkan keuntungan wang, populariti, daripada memikirkan soal pengisiannya. Akhbar-akhbar lebih memaparkan isu semasa dan gejala masyarakat tanpa pernah memikirkan penyelesaiannya.

Pernah tak kita termimpi untuk membaca akhbar yang penuh dengan berita kasih sayang, berbaik-baik. Yang ada juga, hanya cerita-cerita yang menginsafkan, mendidik jiwa, bahkan menambah rasa takutkan Tuhan dalam hati setiap yang membacanya!

Bilakah akan terjadi akhbar-akhbar membawa khabar gembira tentang syurga dan khabar duka dan ancaman neraka? Apa mustahilkah?

Tidak. Tak mustahil ini terjadi, kalau akhbar benar-benar menjadi saluran untuk mendapatkan maklumat yang tepat, berita-berita yang memberi manfaat, seterusnya menjadi penghubung antara pemimpin dengan rakyat.

Ini bertitik tolak daripada para pendokong dunia kewartawanan itu sendiri. Kalaulah para wartawan yang menulis sesuatu berita dengan penuh takutkan Allah, berita-berita yang tak manis didengar pasti tidak akan muncul lagi di dada-dada akhbar.

Oleh itu saya ingin mengajak diri saya dan para pembaca khususnya para penulis berita untuk kita sama-sama takutkan Allah. Agar kita lebih berhati-hati dalam menulis. Jangan sampai tersalah tulis hingga mengakibatkan huru hara dan perpecahan berlaku di dalam masyarakat dan negara. Sekian untuk kali ini. Moga ada manfaat untuk kita bersama. Ampun maaf.

Dari pena: harumsyurga

Lirik Nasyid: Meriahkanlah Taman Ini

Meriahkanlah taman ini
Dengan lagu yang merdu
Menghiburkan hati penghuni
Taman yang telah lesu

Mereka sangat menginginkan
Kehidupan yang murni
Berilah khabar yang gembira
Pada mereka semua

Akan tibanya seorang pembela
Tak lama lagi di kurun ini
Menegakkan keadilan merata
Tiada beza antara manusia
(Ulang rangkap 1 dan 2)

Berjuanglah kita sambil menunggu
Berbaris menyambut ketibaannya
Yang sudah pasti akan datang
Tiada siapa yang dapat menghalang
(Ulang rangkap 1 dan 2)

Sebagaimana kedatangan
Rasulullah di Madinah
Disambut dengan wajah berseri
Dengan pujian dan syukur

Sejarah akan berulang lagi
Bukan datangnya seorang nabi
Tapi khalifah yang ditunggu-tunggu
Membawa berita gembira
(Ulang rangkap akhir)

Syukurku…

Salam semua, moga ceria selalu

Dulu waktu masih kanak-kanak, aku suka minum air milo pekat. Kalau mak bancuh air milo yang cair atau tawar, sumpah aku tak nak minum. Lebih-lebih lagi bila aku besar sikit, iaitu dah pandai baca tulisan kat plastik milo tu, sukatan bancuhannya, aku ikutlah bulat-bulat. Kalau terkurang sikit je pun milo nye, aku rasa macam tak sempurna, macam bukan air milo.

Hinggalah aku besar sikit lagi. Iaitu bila aku meningkat remaja, ada sorang kakak dalam dorm aku suka minum milo kosong. Syaratnya milo kena 5 sudu teh atau lebih kurang 3 sudu makan. Aku pun dengan penuh ber’ISO’ tinggilah kononnya ni, ikut jela kaedah yang kakak tu ajarkan. Balik rumah pun, aku pun meng’apply’kanla ilmu yang aku baru dapat tu. Lantas mak pun marah, kalau macam tu, tak sampai seminggu pun habisla milo ni jawabnya…! Aku pun dengan penuh ego+mengada-ngada, lawanla cakap mak. Konon dah pandai sangat. Aduhai.

Lantas, bila aku semakin dewasa, aku mempunyai taste yang lain pula, iaitu milo yang cair saja, bahkan kosong tanpa susu. Kalau terlebih manis sikit, aku tawar hati untuk minum. Hehe.

Kini, setelah benar-benar dewasa (ceh), aku dah makin matang dalam bercitarasa(?). Aku melihat, sekarang kalau aku nak minum milo, dah takde masalah dah walaupun air milo tu tak cukup milo atau susu. Walaupun tawar atau cair saja, aku terima seadanya. Aku minum juga penuh nikmat dan syukur. Aku merasakan, syukurla dapat minum milo.

Seriously, kisah di atas adalah benar, yang aku saja nak kongsikan kepada semua. Bahawa, yang penting adalah rasa syukur. Setakatla air milo, tapi kalau kita tak mampu untuk bersyukur, air milo tu lah yang akan kita salahkan. Sedangkan soal tak cukup milo, atau susu, itu dah jadi soal kedua. Yang penting, syukur. Syukur itulah yang akan meletakkan hati kita dalam keadaan berlapang dada dengan nikmat yang Allah beri. Tiada keluhan, tak puas hati. Tenang dan redha.

Itu sebagai satu tamsilan saja. Banyak lagi contoh lain yang boleh kita buat. Tapi cukuplah air milo sebagai contoh terdekat, yang aku minumnya hampir setiap hari.

Pernah, aku duduk di asrama, yang mana susahnya nak dapatkan air milo waktu tu. Jadi, aku jarang minum milo. Lantas, bila sekali aku dapat minum, walaupun serba kekurangan, aku terasa nikmatnya…!

Jadi, sekarang ini, selagi sedang mendapat nikmat udara yang Allah berikan tanpa perlu dibayar, selagi itu marilah kita bersyukur. Rupa-rupanya, nikmat yang kita kecapi selama ini, sedikit saja yang kita syukuri berbanding dengan nikmat yang kita minta, tapi Allah belum beri.

Setakat ini saja untuk kali ini. Moga kita termasuk di kalangan hambaNya yang sedikit, iaitu yang bersyukur. Amin.