Archive | June 2013

Lirik Nasyid: Nasihat Ramadhan

Bulan Ramadhan bulan bertuah
Bulan ibadah, bulan mujahadah
Bulan rahmat, bulan maghfirah
Bulan al-Quran dan Lailatul Qadar

Besarkan Ramadhan dengan puasa
Di waktu malamnya tambahkan ibadah
Bacalah al-Quran banyakkanlah sedekah
Terawih kerjakanlah walaupun sunnah

Peliharalah mata jagalah telinga
Kawallah lidah dari yang sia-sia
Fikirkanlah yang mendatangkan faedah
Hubungkan hatimu dengan Allah

Zikir, selawat, doa panjatkan
Pahala Ramadhan diganda-gandakan
Jangan lupakan, jangan lalaikan
Ramadhan tiba setahun sekali

(Ulang rangkap 1)

Bulan Ramadhan bayarlah fitrah
Untuk membersihkan hati dan diri
Sebagai bantuan kepada yang susah
Agar mereka gembira di hari raya

Allahu Ya Allah, kepadaMu kami beriman
KeranaMu kami berpuasa di bulan ini
Bulan yang mulia
Kami mohon rahmatMu ya Allah
KeampunanMu wahai Tuhan

Banyakkan iktiqaf di sepuluh hari terakhir
Lailatul Qadar berlaku di malam itu
Kita kan mendapat pahala yang besar
Seperti beribadah seribu bulan

(Ulang rangkap 1)

Advertisements

Lirik Nasyid: Amalan Ramadhan

Pesta beribadah telah pun bermula
Bersama tibanya Ramadhan yang mulia
Rahmat Allah melimpah untuk semua hambaNya
Nikmat Allah mengalir mencurah-curah

Meriahkan Ramadhan ini dengan beribadah
Tingkatkan amal dan mujahadah
Banyakkanlah berzikir dan baca Al-Quran
Muhasabah dan sucikan hati

Seluruh anggota kita semua ada peranannya
Perlu dijaga di setiap tindakan
Hati yang telah bersih dan berakhlak mulia
Di sisi Allah tinggi nilainya

Jagalah lidah dan juga tutur kata
Jangan sampai mengumpat dan berkata-kata dusta
Pelihara mata dan kawal telinga
Agar berbuat yang diredhai Allah

Langkahkan kaki menuju kebaikan
Jangan melangkah ke arah kejahatan dan maksiat
Jika terhumban ke kancah kehinaan
Di dunia lagi beroleh pembalasan
(Ulang rangkap 1, 2 dan 3)

Tangan pun juga hendaklah perlu dijaga
Elakkan diri mengambil hak orang lain tanpa redha
Kukuhkan perpaduan hindar permusuhan
Sesama jiran, rakan dan taulan

Jadikanlah Ramadhan gelanggang untuk beribadah
Bukan sekadar berlapar dan dahaga
Ramadhan setahun sekali sahaja
Rebutlah peluang, jangan ketinggalan
(Ulang rangkap 2)

Lirik Nasyid: Rintihan Ramadhan

Tuhan, telah sering ku terdengar
Tentang kebesaran bulan Ramadhan
Di dalam al-Quran dan sabda junjungan
Hanya aku yang sering melupakannya

Di bulan yang mulia ini
Laut pengampunanMu tiada bertepi
Rahmat dan nikmatMu tiada terbilang
Syurga terbuka dengan seluasnya

Tuhan ku sedari kelemahan diri ini
Yang tidak istiqamah dalam beribadah
Ramadhan berlalu, ibadah pun berkurangan
Begitulah diriku yang sering kelalaian

Semoga di Ramadhan kali ini
Dapat ku perbaiki kelemahan diri
Akan ku cuba mendidik nafsuku
Agar subur kehambaanku terhadapMu

Lailatul Qadar pasti menjelma
Buat mereka yang menunggunya
Para malaikat merendahkan sayapnya
Meratakan rezeki untuk semua

Bimbinglah aku menuju jalanMu
Tingkatkan iman dan ketaqwaanku
Agar baktiku tetap padaMu
Biarpun Ramadhan sudah berlalu

(Ulang rangkap 3 dan 4)

Agar subur kehambaanku terhadapMu 3X

Lirik: Abuya Ashaari Muhammad

Menutup Aurat

Para Sahabat di zaman Rasulullah yang terdiri dari kalangan wanita, bilamana mendengarkan seruan dari baginda Rasul untuk menutup aurat, mereka bergegas-gegas pulang ke rumah, mengambil apa juga jenis kain utk menutup aurat. Kalau langsir, langsirlah. Asalkan perintah yang datangnya dari Allah itu mereka segera tunaikan.

Mereka melaksanakan perintah itu dengan penuh rasa cintakan Allah dan Rasul. Yakni, bila hati sudah cinta, dia akan mencari-cari sebab untuk membuktikan kecintaannya. Menutup aurat adalah salah satu perintah suruh dari Allah. Bagi wanita-wanita di zaman Rasulullah, menutup aurat bukan setakat melaksanakan perintah atau arahan. Ia adalah pembuktian cinta, seolah-olah hati mereka berkata, “Wahai Allah dan Rasul, suruhlah lagi, perintahlah lagi, agar dapat kami laksanakan dengan taat setaat-taatnya…,”.

Tidak kedengaran pula di zaman itu, ada wanita-wanita yang memberontak tidak mahu menutup aurat kerana panas(walaupun negara Arab memang terkenal dengan kepanasannya), kerana tak up-to-date dan sebagainya. Kalau ada pun yang menentang tentulah di kalangan kaum kafir Quraisy di waktu itu.

Jadi, untuk umat akhir zaman ini, bilamana perintah itu keluar dari mulut baginda Rasul, ia adalah untuk dilaksanakan oleh seluruh umatnya. Bukan untuk yang sezaman dengan baginda saja. Walaupun baginda sudah wafat, syariat tetap berjalan seperti biasa. Kitakan umat Nabi Muhammad. Jadi, berlagaklah seperti umat baginda. Janganlah setakat menyambut maulid baginda setiap tahun dengan penuh bangga. Tapi, perintah suruh dan perintah larang pun masih lagi kita cuaikan.

Ilmu tentang balasan bagi orang yang mendedahkan auratnya sudah puas diajarkan di sekolah-sekolah agama terutamanya, ia adalah ilmu fardhu ain. Tapi kenapa makin hari, ramai pula yng tidak mahu bertudung? Salah guru yang mengajarkah? Atau salah ibu bapakah? Atau salah Nabi kita?!!!

Kalaulah mak ayah kita menyuruh kita buat sesuatu, kalau kita sayang mak ayah, pasti kita akan terus akan laksanakan tanpa banyak soal. Kalau dah tiga empat kali mak ayah suruh, tapi kita buat tak tahu je, mak dan ayah pasti akan tanya, “Kamu dah tak sayangkan mak ayah ke?” Begitulah tamsilannya. Itu baru mak ayah. Inikan Allah dan Rasul yang arahkan untuk menutup aurat, cuba bayangkan ‘perasaan’ Allah dan Rasul bila kita taknak menutup aurat. Seolah-olah mereka tak ada. Seolah-olah tak sayangkan mereka langsung.

Kita lihat dunia hari ini, berjayanya musuh-musuh Islam mensekolahkan umat Islam hingga sampai satu masa, tidak payah susah-susah mereka hendak mencerca Islam, umat Islam sendiri dah pandai memperlekehkan agama sendiri!

Menutup aurat kini dilabel sebagai tak up-to-date, menutup peluang pekerjaan, dan sebagainya. Jadi tak hairanlah, ramai di kalangan umat Islam yang seolah-olah sudah kehilangan Allah dan Rasul di hati mereka, tanpa rasa takut mendedahkan aurat di sana sini. Trend fesyen yang dipelopori Barat, dan kini Korea yang juga kafir sudah dijadikan tempat rujuk.

Di kaca-kaca televisyen hari ini, kita dapat saksikan 98% isi kandungannya adalah tidak menutup aurat. Ia adalah trend yang diterima ramai. Bahkan, pembaca berita yang sopan itupun mendedahkan auratnya.

Seluruh dunia hiburan diisi dengan kandungan non-hijab-term, yang lebih mementingkan rating daripada takutkan kemurkaan Allah. Syariat, halal haram sudah dibelakang-kirakan.

Bagi yang nak mencari kerja di bidang artis, mereka sanggup membuka tudung, dan mendedahkan aurat sana sini demi memenuhi tuntutan kerja. Saya kira, alasan yang mereka pakai hanya boleh menyelamatkan mereka untuk tempoh yang sangat pendek. Paling lama pun, untuk tempoh hidup di dunia ini saja. Di Akhirat nanti, alasan skrip, pengarah, produser, peminat, wartawan itulah yang akan menjadi sebab mereka dibakar di neraka! Wal’iyazubillah. Di waktu itu, air mata darah sekalipun tidak berguna walau sebesar habuk.

Jadi saya ingin menyeru kepada sesiapa yang belum menutup aurat sepenuhnya, jika anda sudah berniat untuk menutup aurat, segeralah laksanakan, kerana ‘serunya’ dah lama sampai, iaitu dari zaman Rasulullah masih ada lagi. Kita tidak tahu bila kematian menjemput kita. Boleh jadi esok, boleh jadi sekejap lagi, boleh jadi sekarang! Dan boleh jadi di saat kita sedang mendedahkan aurat itu Allah tarik nyawa kita. Mohonlah taubat dengan segera.

Sekian dulu dari saya, ampun maaf
Dari pena: harumsyurga

Lirik Nasyid: Kawan

Artis: The Zikr

Kawan apalah yang kau kesalkan
Kerna Tuhan kehilangan kawan
Kerna kebenaran dihina
Jangan kau ragu dalam perjuangan

Kadang-kadang kawan jadi lawan
Kadang-kadang lawan jadi kawan
Apalah disedihkan hati
Para pejuang selalu kekurangan

Jangan sedih selalu tersisih
Bukan kau saja ditimpa malang

Lihatlah para Rasul mulia
Lebih terseksa dan menderita
Tetapi mereka merasai ramai
Walaupun keseorangan

Mereka memadai dengan Tuhannya
Itulah kebahagiaan
Di waktu sempit seorang diri
Kawan apalah disedihkan hati

Mereka bahagia dalam derita
Mereka kaya di dalam papa

Lihatlah para Rasul mulia
Lebih terseksa dan menderita
Tetapi mereka merasai ramai
Walaupun keseorangan

Mereka memadai dengan Tuhannya
Itulah kebahagiaan
Di waktu sempit seorang diri
Kawan apalah disedihkan hati
Kawan apalah disedihkan hati