Archive | December 2012

Cara Bersyukur Yang Sebenarnya

Nikmat yang diberi oleh Allah Taala
Kepada kita terlalu banyaknya
Berbagai-bagai macam jenis
Di dalam diri kita seluruhnya adalah nikmat dari-Nya
Di luar diri kita bermacam-macam dan berbagai-bagai pula
Rumah, isteri, anak-anak, harta, kereta,
Makan minum, pakaian dan lain-lainnya
Balaslah nikmat Tuhan itu tanda bersyukur kepadaNya dengan nikmatNya juga
Seperti kita sembah, besarkan,
Cinta, dan takutlah kepadaNya
Gunakan lidah kita menyebut, mensucikan,
Memuji dan memohon keampunan kepadaNya
Tenaga, kita gunakan untuk perjuangan
Menegakkan agamaNya
Nikmat di luar diri seperti harta gunakan
Untuk menolong manusia yang miskin, papa
Digunakan juga untuk fisabilillah
Yang diperintahkan kepada kita
Kereta kita jadikan alat untuk khidmat
Kepada agama dan manusia
Rumah kita untuk menyambut tetamu
Dan pertemuan silaturrahim
Sesama hamba-hambaNya
Tanah untuk diwakafkan,
Ditegakkan bangunan pendidikan
Dan bangunan rumah tetamu
Bangunan-bangunan dan gedung-gedung perniagaan
Demi kemajuan umat Islam patut dibina
Begitulah caranya kita bersyukur kepada Tuhan di atas nikmat-nikmatNya
Menggunakan nikmat-nikmatNya untuk keredhaanNya
Ertinya nikmat Tuhan itu juga tidak kira nikmat yang mana dikorbankan pada jalanNya
Korbankan nikmat Tuhan kerana nikmatNya yang diberikan kepada kita
Begitulah caranya kita bersyukur kepada Tuhan
Di atas segala nikmat, rahmat dan anugerahNya
Nikmat dari Tuhan, nikmat itu jugalah
Kita gunakan untuk Tuhan
Jangan gunakan nikmat Tuhan
Bertentangan dengan kehendak Tuhan
Tidak takutkah kepada Tuhan?
Jika Tuhan murka dia boleh rentap bila-bila masa
Bila-bila masa sahaja kita boleh terhukum dan terhina
Berhati-hatilah menggunakan nikmat Tuhan
Agar kita tidak kufur nikmat.

Menjelang Tidur
17 Muharram 1421H

Advertisements