Archive | November 2012

Sajak – Bala Yang Dahsyat Bila Ditarik Iman

Oleh: Abuya Ashaari Muhammad

Bala bencana yang dahsyat kepada seorang hamba
Bukan ditimpa bencana alam
Seperti air bah, angin kencang,
gunung berapi meletup,
gempa bumi menggoncang
Tidak juga sakit yang teruk seperti barah yang garang
Bukan juga ditohmah dan difitnah
Juga bukan kerana susah tidak ada apa
yang hendak dimakan dan diminum
Sekalipun ditangkap, dijel dan dipenjara
Bahkan dibunuh, itu bukan bala yang dahsyat
Tapi bala yang dahsyat itu ialah ditarik iman
Seperti selama ini syariat seseorang itu kemas,
selepas itu cuai balik asal
Keyakinan yang kental kembali longgar
Sembahyang jemaah yang menjadi tradisi dicuai
Ibadah yang selama ini istiqamah
Sudah menjadi malas, culas,
bahkan membuatnya terseksa
Hukum-hakam yang selama ini dipelihara
dan dijaga dengan baiknya
Selepas itu sudah tidak diambil kira lagi
Anak isteri yang selama ini dididik
sudah tidak dipedulikan
Pantang-larang Tuhannya kembali dilanggarnya
Takut kepada Tuhan tercabut dari hatinya
Halal haram sudah tidak diambil kira
Demi keuntungan dunia
yang belum tentu mendapat untung
Pintu hatinya ditutup rapat-rapat
Kebenaran sudah tidak boleh diterima lagi
Jika diberitahu atau dinasihat sakit hatinya
Bahkan adakalanya bangga pula membuat kejahatan
di hadapan kawan-kawan lamanya
Fikirannya dunia, mazmumah hatinya subur semula
Itulah dia bala bencana yang paling dahsyat
Selepas mendapatkan kebenaran dilepaskan semula
Setelah mendapat iman dibuang pula
Kita berlindung dengan Tuhan
daripada bala tercabut iman

Selepas Asar
27 – 09 – 1999

Advertisements

Islam Itu Selamat dan Menyelamatkan

Oleh: Abuya Ashaari Muhammad

Dalam Al-Quran, ada satu ayat yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global).” (Al-Baqarah: 208)

Di dalam ayat ini, Tuhan memerintahkan manusia dengan perintah masuk ke dalam keselamatan (Islam), secara umum dan menyeluruh, iaitu bukan secara individu atau perseorangan. Masuk ke dalam keselamatan itu pula bukan separuh-separuh atau bukan di sesetengah aspek sahaja tetapi secara keseluruhan iaitu secara global. Dalam ayat ini Allah mengajar kita bahawa hidup ini mestilah bukan secara individu tetapi ada hubungkait dengan orang lain. Dalam memikirkan diri kita, fikirkan juga orang lain. Kita ada hubungan dengan orang lain dan orang lain juga ada hubungan dengan kita. Jadi manusia tidak boleh memikirkan dirinya sahaja.

Tuhan mengajak kita masuk ke dalam keselamatan secara umum dan secara global. Jadi kalau ingin selamat, tentu kita harap agar orang lain juga selamat atau agar orang lain juga berada dalam keselamatan. Kalau kita ingin masuk ke dalam keselamatan secara global, kita harap orang lain pun demikian juga.

Demikianlah perintah Tuhan kepada manusia agar saling jaga-menjaga antara satu sama lain di mana kita menjaga orang dan orang menjaga. Dalam kita memikirkan diri kita, kita fikirkan juga diri orang lain. Dalam waktu orang lain memikirkan dirinya, dia juga memikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agamaNya, Islam, sesuai dengan ayat tadi. Perkataan Islam yang istilah asalnya, ‘aslama-yuslimu-islaman’, bukan hanya ertinya ‘selamat’ tetapi juga ‘menyelamatkan’.

Kita bahaskan perkataannya dahulu. Islam itu bukan ertinya ‘selamat’. ‘Selamat’ dikatakan ‘salmun’. Islam maksudnya menyelamatkan. Sesuai dengan perkataan dalam ayat tadi, iaitu menyelamatkan itu secara jemaah, bukan secara individu. Kita fikirkan orang dan orang fikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agama-Nya dengan perkataan ‘Islam’ dan bukan ‘salmun’. Ramai orang terjemahkan maksud ‘Islam’ itu ‘selamat’. Agama Islam itu maknanya yang tepat ialah agama yang ‘menyelamatkan’.

Apa ertinya menyelamatkan? Ertinya kita menyelamatkan diri kita dan diri orang lain daripada sebarang perkara yang negatif, sama ada besar mahupun kecil. Sama ada yang berbentuk Akhirat, mahupun yang berbentuk dunia. Sama ada yang bersifat lahir mahupun yang bersifat batin. Diri kita selamat dan orang lain pun selamat. Inilah dasar agama Tuhan. Ini prinsip agama Tuhan yang mesti difahami, yang mesti diperjuangkan dan yang mesti dihayati serta diaplikasikan di dalam kehidupan.

Kalau begitu mari kita lihat, bagaimana untuk mengaplikasikan agama yang selamat dan menyelamatkan itu dalam kehidupan harian.

Dalam kehidupan harian, Tuhan kata, masuklah ke dalam keselamatan itu secara ‘kaaffah’. Bila katakan ‘kaaffah’ atau menyeluruh, maka salah sekalilah apa yang kita dengar dan kita lihat selama ini, yakni:

1. Golongan yang menganggap Islam itu mementingkan ibadah sahaja.
Golongan ini nampak Islam itu di surau, masjid, waktu berpuasa, waktu sembahyang, waktu haji dan waktu wirid sahaja. Yang lain tidak diambil kira. Mereka nampak Islam itu hanya di sudut ibadah sahaja. Yang lain-lain seperti makan, minum, tidur, baring, berehat, dan berkeluarga tidak dianggap Islam. Mereka tidak terfikir bahawa mencari ilmu, menziarah, berhimpun dan berhibur itu juga Islam. Bukankah ini berlawanan dengan prinsip tadi, yakni “Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global).”

2. Golongan yang mengambil berat tentang Islam itu dari segi politik dan pentadbiran negara sahaja.
Mereka ini selalu sahaja kata, “Lihat Tuhan berkata, masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh.” Mereka nampak negara, politik dan pentadbiran. Pada mereka, itulah agama. Ibadah itu kecil. Sebab itu kerana politik mereka tinggalkan sembahyang. Kalau sembahyang pun, Subuhnya pukul tujuh pagi. Ertinya mereka lebih pentingkan politik daripada sembahyang. Itu kalau dia hendak sembahyang. Ramai yang memperjuangkan politik tapi tidak sembahyang. Oleh kerana dia anggap politik itu besar, sembahyang jadi kecil. Ini juga bukankah melanggar prinsip ayat tadi. Mana boleh politik negara dan pentadbiran dianggap global. Itu hanya satu sudut dalam Islam. Sedangkan Islam itu menyeluruh.

Kalau seseorang itu ada ilmunya, boleh dihayati dan boleh pula diamalkan dalam kehidupan, barulah dia benar-benar hamba Tuhan. Bila dikatakan hamba Tuhan, ertinya dia terhubung dengan Tuhan 24 jam. Kalau begitu mari kita lihat bagaimanakah hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah tadi di dalam setiap aspek kehidupan kita dengan tidak memikirkan atau mempersoalkan apakah ianya fardhu ain, sunat, fardhu kifayah dan lain-lain. Yang penting ia termasuk dalam kawasan silmi, iaitu kawasan keselamatan, yang selamat dan menyelamatkan.

Tentang ibadah di dalam Islam, itu tidak payah kita persoalkan. Itu orang sudah tahu. Begitulah juga aspek politik dan negara, pun tidak perlu kita bahaskan. Orang sudah faham. Itu sudah satu aspek. Yang hendak disebut di sini ialah satu perkara atau satu aspek yang jarang orang sebut iaitu tindakan kita setiap hari. Setelah kita hurai nanti, barulah kita tahu sama ada kita berada dalam ‘silmi kaaffah’ atau tidak. Sama ada kita masuk dalam keselamatan global atau tidak.

Katalah daripada bangun tidur, bagaimana kita hendak masuk kepada Islam atau kepada ‘silmi’ itu? Kalau tidak berada ‘silmi’, maka syaitanlah yang akan mempengaruhi kita. Iaakan berlaku salah satu. Kalau Tuhan tidak pengaruhi kita, syaitanlah akan pengaruhi kita. Tidak ada vacuum. Di antara contoh bagaimana hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah di dalam setiap aspek kehidupan kita adalah seperti berikut:

Apabila kita bangun sahaja dari tidur, kita bersyukur pada Tuhan. Kalau tidak tahu hendak baca doanya, sekurang-kurangnya hati kita berkata, “Terima kasih Tuhan kerana hidupkan saya.” Kita pun niatkan, “Ya Allah, bermula dari saya bangun ini, sampai saya tidur semula, saya hendak buat baik. Tolonglah bantu saya.” Niat sudah ada. Ertinya sudah mula masuk pada silmi. Kalau kita tidak buat begitu, ertinya sudah tidak selamat. Syaitan akan mempengaruhi hati kita sebab kita tidak bermula dengan ingat Tuhan. Bila tidak ingat Tuhan, ertinya syaitan mempengaruhi kita waktu itu.

Kemudian kita pun ke bilik air, dengan niat semua perbuatan adalah untuk Tuhan. Itu kita sudah maklum. Kita terus pergi ke bilik air dengan tujuan hendak bersihkan diri, hendak basuh diri, hendak mandi dan hendak ambil wudhuk. Tujuannya untuk Tuhan. Syaitan sudah tidak boleh mencelah di situ. Kita sudah berada dalam kawasan atau keadaan silmi itu tadi. Selepas itu kita sembahyang. Itu juga dalam silmi.

Selepas itu, tentulah manusia ini hendak bertebaran di atas muka bumi. Tentu hendak keluar rumah. Mengapa Tuhan pilih perkataan ‘bertebaran’? Sebab tidak semua orang bekerja. Ada orang hendak mengaji, ada oranghendak mengembara, ada orang hendak berziarah dan bersilaturrahim dan ada orang hendak menunaikan hajat-hajat lain. Jadi selepas sembahyang, masing-masing akan memenuhi keperluan masing-masing. Bila hendak keluar rumah tentu kita akan berdoa dengan berkata:

بِسْمِ اللهِ تَوَ كَّلْتُ عَلَى اللهِ

Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah.”

Jadi kita sambunglah memasuki kawasan keselamatan atau silmi secara global tadi. Kalau kita tidak baca doa itu, kalau kita tidak terfikir atau terlupa hendak baca, di sudut itu sudah tidak selamat. Syaitan sudah menguasai hati.

Bila melangkah, kita langkah dengan kaki kanan. Sebab berkanan-kanan ini Tuhan suka. Selamatlah dari kemurkaan Tuhan. Kalau kita langkah dengan kaki kiri, kita sudah buat sesuatu yang negatif, sebab orang kafir suka mulakan dengan sebelah kiri. Sama ada untuk makan atau lain-lain. Cuba kita lihat orang kafir makan terutama orang Barat sama ada pakai garpu atau pakai tangan, mereka gunakan tangan kiri. Tuhan benci. Apabila Tuhan benci, ia sudah masuk kepada negatif. Ia sudah tidak selamat sebab Tuhan sudah murka sebab kita ikut budaya orang kafir. Ertinya kita sudah tidak selamat.

Selepas itu kita naik kereta dan membaca doa naik kenderaan. Itu paling tidak. Tadi sudah dikatakan bahawa Islam itu bukan kita sahaja selamat bahkan ia selamat dan menyelamatkan. Yang lebih baik waktu itu kita ingat tentang berapa ramai orang yang campur tangan untuk menghasilkan kereta itu dari bahan mentah, siap menjadi kereta hingga sampai ke tangan kita, berapa ribu manusia yang terlibat. Doakan dalam hati:
“Ya Allah berilah mereka petunjuk. Ampunkan dosa mereka dan murahkan rezeki mereka.”

Kalau boleh, hadiahkan Al-Fatehah untuk mereka dan niatkan dalam hati, kita hadiahkan Fatehah untuk yang Islam. Bagi buruh-buruh yang tidak Islam, dia sudah termasuk dalamdoa tadi yakni agar diberi petunjuk. Moga-moga dengan itu, kita selamat dan menyelamatkan orang lain. Itu lebih ikhlas. Orang yang kita doakan pun tidak tahu. Itu paling ikhlas. Pahalanya selamat. Kalau kita doakan orang ramai yang ada di depan kita, payah hendak jaga hati kita. Sebab hati akan berkata, “Supaya orang anggap aku baik, aku akan doakan mereka.” Habislah pahala amalan kita. Payah rupanya hendak ikhlas. Bila begitu, ertinya hati kita bukan Tuhan yang dapat tetapi syaitan yang dapat.

Jadi kalau kita mendoakan orang tetapi tidak ada siapa yang tahu seperti mendoakan orang-orang yang terlibat dalam menghasilkan kereta tadi, yang mereka itu duduk merata-rata, inilah yang selamat dan menyelamatkan.

Inilah yang orang tidak buat. Perkara seperti ini mudah dapat pahala tetapi orang tidak buat. Yang susah dapat pahala itulah yang hendak buat sebab kita sudah diberi gambaran yang salah tentang ajaran Islam itu. Perkara-perkara yang tersirat seperti ini tidak pernah digambarkan atau difikirkan orang. Padahal Islam itu selamat-menyelamatkan. Sekarang kita sudah selamatkan orang yakni orang yang ada hubungan dengan kereta kita. Daripada yang menyiapkan bahan mentah, yang proses, yang buat, yang tukang jual, sampai ke tangan kita, berapa ribu orang yang terlibat. Kalau doa kita makbul, berapa ribu orang yang akan selamat.

Seterusnya, kereta pun meluncur. Waktu baru naik kereta, hendak hidupkan enjin, ada bacaan doanya. Waktu kereta berjalan juga ada bacaannya. Mengapa kita baca doa-doa itu? Moga-moga Tuhan selamatkan kita. Sebab ajaran Islam itu selamat-menyelamatkan. Setidak-tidaknya kita dahulu yang selamat. Bila masuk ke simpang, walaupun itu jalan kita, jika ada kereta lain hendak lalu, kita beri laluan. Menyelamatkan. Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan. Bagi peluang kepada orang lain jalan dahulu. Kalau kita cakap, “Mana boleh! Ini jalan aku.” Mengikut undang-undang jalan raya, memang tidak salah kalau kita tidak mahu beri laluan tetapi mengikut undang-undang Tuhan, tidak baik. Kalau mengikut undang-undang kerajaan memang kita yang patut jalan dahulu. Kalau mengikut undang-undang Tuhan, kita beri orang lain jalan dahulu. Kita hendak menyelamatkan orang. Boleh jadi dia memang ada keperluan hendak cepat. Kita beri peluang kepada orang dahulu, senangkan hati orang. Bila kita senangkan hati orang, kita sudah dapat pahala pula. Jadi kesenangan orangitu secara tidak langsung menyenangkan kita pula.

Begitulah pula kalau kita jalan jauh. Bila menuruni jalan yang tinggi, ada pula ayatnya. Selagi menurun, kita baca, “Subhanallah… Maha Suci Tuhan, Maha Suci Tuhan.” Jangan sampai jiwa kita itu vacuum atau kosong. Biar sentiasa terhubung dengan Allah. Kalau jauh kereta kita menurun, lamalah kita baca “Subhanallah…” Apabila tiba-tiba kereta mendaki kawasan atau jalan yang tinggi, baca, “Allahu Akbar” pula. Tuhan siapkan bagaimana agar hati kita sentiasa terhubung dengan-Nya supaya hati kita tidak vacuum.

Katalah tiba-tiba kita nampak orang kemalangan. Kita kata, “Segala puji bagi Tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang telah ditimpakan kepada orang itu.” Terhubung lagi hati dengan Tuhan. Tidak boleh ada vacuum dalam hati. Jika vacuum, syaitan masuk. Bila syaitan masuk, kita sudah tidak selamat. Padahal Islam itu cantik. Bukan sahaja kita selamat, orang lain pun selamat.

Apabila kita teruskan perjalanan lagi,kita haus maka kita pun singgah di restoran. Berapa banyak perhubungan kita dengan Tuhan di situ. Kita baca Bismillah, dan mulakan minum dengan tangan kanan maka kita terhubung secara tidak langsung dengan Tuhan. Bila hendak bayar, kita bayarkan untuk orang yangmakan di kiri kanan kita. Selamatkan orang lain. Islam itu selamat-menyelamatkan. Tidak indahkah ajaran Islam itu? Kita sentiasa terhubung dengan manusia, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Bila terhubung dengan Tuhan, secara automatik kita terhubung dengan manusia. Cantiknya ajaran Islam.

Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan yakni ia merupakan amalan harian. Sedangkan ada orang anggap masuk kepada keselamatan secara keseluruhan atau global itu, hanya di sudut ibadah sahaja atau sembahyang sahaja. Yang minat politik pula nampak keseluruhan atau global itu di sudut negara atau pentadbiran sahaja. Ibadah pun sudah jadi kecil baginya. Apa yang diceritakan ini, lagilah dia tidak nampak. Mana ada orang pernah syarahkan. Seolah-olah ini bukan agama. Agama itu ialah jadual harian. Walaupun satu detik dalam hidup, tidak lepas dari Tuhan dan tidak lepas dari manusia. Tidak ada vacuum. Tidak ada kekosongan.

Jadi itulah perintah Tuhan tadi, “Hendaklah kamu masuk Islam (keselamatan) itu secara menyeluruh (global).” Dan sebab itu Tuhan bagi nama agama-Nya, Islam, sesuai dengan arahan dalam ayat tadi. Islam ertinya selamat dan menyelamatkan. Menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang lain. Kalau ini dapat difahami, dihayati, dan diamalkan dalam kehidupan harian, maka dengan Tuhan kita terhubung dan dengan manusia kita terhibur. Kita selamat dan orang lain pun selamat. Kalau begitu, mana ada ruang untuk bergaduh dan berkrisis. Tidak ada. Tetapi oleh sepertimana yangkita faham selamaini, sebab itu Islam yang kita bawa tidak selamat dan tidak menyelamatkan. Kadang-kadang kita bawa Islam, di situ boleh bergaduh. Ini sudah tidak betul. Menyalahi ayat tadi.

Itu sebahagian kecil yang digambarkan bagaimana Islam itu adalah kehidupan seharian. Dalam sudut-sudut lain, kita sudah tahu. Kalau belum tahu, eloklah kita belajar lagi kerana ia terlalu banyak dan meyeluruh. Iaitu tindakan di dalam kehidupan kita. Jadi cantik sekalilah ajaran yang selamat dan meyelamatkan.

Begitulah seterusnya, apabila kita balik ke rumah untuk berehat, ada disiplin-disiplin tertentu dan ada bacaan-bacaan tertentu. Kalau tidak faham bacaan, pasanglah niat-niat baik dengan Tuhan, supaya sentiasa terhubung dengan Tuhan. Itu paling tidak. Memang tajuk semacam ini kurang diminati kerana bab ini susah hendak diamalkan setiap hari. Cukup setakat ini. Setidak-tidaknya kita sudah faham prinsip Islam yakni Islam itu selamat dan menyelamatkan

Sajak: Pendidikan yang Sudah Rosak

Oleh: Abuya Ashaari Muhammad

Dasar pendidikan di negara-negara umat Islam
di seluruh dunia selepas merdeka,
satu sama lain tidak jauh bezanya
Kalau ada pun kelainannya
hanya di segi teknik dan bahasa
yang digunakan sahaja
Dasarnya adalah sekular
untuk semata-mata
melahirkan orang pandai,
boleh membuat kemajuan
dan mengejar dunia
Teras pendidikannya
tidak berdasarkan tauhid atau ketuhanan
kecuali terlalu sedikit sahaja
Syariat yang diajarkan pula
terlalu asas
hanya di sekitar ibadah
Cintakan Tuhan dan takutkan Tuhan
jauh sekali
Tauhid hanya sekadar mengesahkan aqidah
agar jangan tersalah
Oleh kerana di dalam pendidikan
aqidah yang diajar terlalu asas,
akhlak yang tinggi dan mulia
tidak mungkin terserlah
Tidak mungkin melahirkan manusia
yang cintakan Allah
dan sesama manusia
Apatah lagi hendak melahirkan manusia
yang tawadhuk, pemurah, sabar
rasa bersama, bekerjasama,
mengutamakan orang
mustahil rasanya
Tidak mungkin melahirkan manusia
yang ikhlas, pemalu, berani kerana Allah
tawakal, berdikari, rajin beribadah, jujur
Pokok pendidikan yang telah ditanam
semenjak merdeka
sudah pun berbuah
Buahnya ialah yang berjaya di dalam perniagaan
sombong, tamak, berfoya-foya,
mementingkan diri, hidup nafsi-nafsi
Yang berjaya di dalam pelajaran
dan mendapat jawatan tinggi
egonya tinggi, hidup nafsi-nafsi
kecuali kerja rasmi
Yang tidak berjaya
kecewa, ada yang putus asa
inferiority complex tiba
Rasuah jadi budaya di kalangan yang berjaya
curi, tipu, kidnap, di kalangan yang kecewa
Melahirkan manusia sudah mewah pun tidak puas
yang miskin kecewa, putus asa, melata
Pemuda-pemudi berfoya-foya
melepak-lepak merata-rata
terperangkap dengan dadah,ganja, bohjan, bohsia
bergaul bebas jadi budaya
Video lucah, vandalisme
black metal, skin head, zina
disiplin tidak ada
Inilah dia buah daripada pendidikan selepas merdeka
yang berlaku di negara umat Islam sedunia
Setiap golongan susah-menyusahkan di antara golongan
curiga-mencurigai di antara puak
prejudis satu sama lain
Guru benci dengan murid
murid benci dengan guru
rakyat benci dengan pemimpin
pemimpin benci dengan rakyat
Di antara anak dan ibu bapa renggang
apatah lagi di antara saudara-mara
Berkawan tidak setia
khianat-mengkhianati sesama
jenayah memeningkan kepala
perpecahan tak usah dikira
Padahal tujuan ingin merdeka
ingin bangsa jadi kuat
kalaupun tidak jadi empayar
Tapi apa yang berlaku
tak usah hendak jadi empayar
berdikari pun belum boleh lagi
Kalau dulu bolehlah salahkan penjajah
sekarang siapa yang bersalah
kalau bukan bangsa sendiri
Oleh kerana buah pendidikan di setiap negara
telah menjadi racun membunuh diri
Setiap orang di dalam ketakutan
setiap orang di dalam kebimbangan
setiap orang merasa ngeri
Tapi cerdik pandai, pemimpin, ulama
belum sedar diri, masih buntu
jalan keluar tidak tahu
Bukan tidak tahu
ada golongan membawa kebenaran
tapi bermusuhan kerana kepentingan diri
Kepentingan diri yang telah diperolehi
atau dididik daripada sekolah lagi
Sekarang negara umat Islam
nama sahaja sudah merdeka
hakikatnya belum bebas lagi
Apabila Amerika mengamuk
umat Islam di dalam ketakutan
terpaksa menerima arahan
Apabila Amerika mengamuk
terpaksa ada negara umat Islam
menjadi tali barutnya
Tapi katanya sudah merdeka
itu bukan merdeka
terpaksa ikut Amerika

Menjelang tidur
02 – 02 – 2004

Sajak: Orang Bertaqwa Aset Negara dan Ummah

Oleh: Abuya Ashaari Muhammad

Orang-orang bertaqwa adalah aset negara dan ummah
Dari merekalah turunnya berkat dan rahmat
Kemakmuran wujud, kemewahan melimpah ruah kerana mereka
Disebabkan mereka rezeki murah, keamanan wujud, bala dijauhkan
Tapi ramai manusia yang tidak sedar dan tidak mengerti soal ini
Bahkan setengah manusia bermusuh dengan mereka
Mereka difitnah, disusahkan,
bahkan adakalanya mereka dibuang daripada tanahairnya
Manusia menganggap aset negara itu ialah bahan-bahan mentah yang berharga
Bangunan yang komersial, harta yang tersimpan, mata benda yang bernilai, kenderaan yang mahal
Mereka tidak terfikir orang yang bertaqwa adalah aset negara
Adanya mereka, terjatuhnya pandangan Tuhan
Kepada merekalah keredhaan Tuhan
Kerana mereka adalah orang Tuhan dan kesayanganNya
Keberadaan mereka, orang ramai mendapat keselamatan dan perlindungan
Awaslah jangan sampai bermusuh denganmereka
Memusuhi mereka laksana memakan racun
Siapa memakan racun pasti binasa
Ertinya Tuhan akan mendatangkan bala bencana di dalam negara
Kesusahan yang akan manusia adalah merata
Takutilah Allah pada mereka
Kalau tidak boleh mengikut mereka, jangan bermusuh dengan mereka
Kita akan nahas dan bahaya

Menjelang tidur
23 – 04 – 2000

Sajak: Kemenangan Perjuangan Kebenaran

Oleh: Abuya Ashaari Muhammad

Sudah menjadi Sunnatullah
perjuangan yang sesat dan batil
cepat diberi kemenangan
Lihatlah sahajalah sejarah
di antara perjuangan para rasul
dengan perjuangan Namrud, Firaun dan Abu Jahal
siapa dahulu mendapat kemenangan?
Perjuangan para rasul
didahulukan dengan kekalahan
apakah ia salah
tolong ambil perhatian
Awaslah!
Kalau ada satu jemaah atau satu parti
diberi kemenangan lebih dahulu
janganlah anggap itu kebenaran
Kerana apa yang berlaku di dalam sejarah
yang batil lebih dahulu diberi kemenangan
Oleh itu salah tidak mesti kalah
yang benar tidak mesti menang
dan mendapat kejayaan

Mengapa kebenaran didahului dengan kekalahan?!
Ia sudah tentulah mempunyai banyak hikmah
yang tersirat kalau kita faham
Pertama: Kebenaran mestilah melalui pendidikan,
mendidik melalui masa yang panjang baru menang
Kedua: Para pejuang mestilah diuji lebih dahulu
dengan kesusahan dan penderitaan untuk tapisan
agar dapat orang yang benar-benar bertaqwa
Ketiga: Berlama-lama itu untuk mereka
diberi pahala yang besar
ini lebih penting dari menang
menang hanya nikmat dunia
pahala adalah di Akhirat
Keempat: Supaya terasa bahawa kebenaran itu
adalah sangat mahal hingga bersusah payah
baru diberi kemenangan
Kelima: Diuji dan panjang masa baru menang
supaya dapat orang yang benar-benar ikhlas
di dalam perjuangan
Keenam: Diuji dengan teruknya
dan panjang pula perjuangannya
supaya orang yang berlakon
dan hendak mencari peluang dan ambil kesempatan
tidak boleh bertahan lama
akhirnya terbuka juga tembelang
Ketujuh: Supaya benar-benar terpisah
di antara orang Tuhan dengan orang syaitan
Kelapan: Berlama-lama berjuang baru mendapat kemenangan
supaya berlaku tapisan demi tapisan
hingga tinggal sedikit
yang tidak logik lagi mendapat kemenangan
supaya nampak bahawa kemenangan itu dari Tuhan
bukan dari tenaga pejuang
agar para-para pejuang merendah diri
dan tidak sombong serta bersyukur kepada Tuhan
Kesembilan: Agar yang tinggal itu pilihan dari pilihan
agar kebenaran itu diberi kepada orang
yang benar-benar baik
yang telah menjual dunianya untuk Akhiratnya
setelah mereka berkuasa,
mereka benar-benar boleh berkhidmat untuk Tuhan
dan kepentingan insan
bukan kepentingan peribadi, keluarga dan kroni-kroni
hingga mereka disayangi oleh orang
Kesepuluh: Supaya mereka diberi kemenangan
dan terus disambung oleh generasi kemudian
berkurun-kurun lamanya
kerana berkat pejuang pertama yang begitu ikhlas
dan pilihan Tuhan
orang kemudian hanya mendapat
rahmat dan berkat
Kesebelas: Kebenaran itu diberi kemenangan
setelah pengikut-pengikutnya tinggal sedikit
kerana diberi kemenangan secara khawariqul ‘adah
iaitu secara mukjizat atau secara keramat
supaya dapat dilihat oleh semua orang
yang menang itu adalah orang Tuhan
Kedua belas: Setelah diberi kemenangan
kepada orang Tuhan
mereka tidak akan ada hendak membalas dendam
dan menzalim kepada musuh-musuhnya
Ketiga belas: Setelah orang yang menang itu
membawa Tuhan dan kasih sayang dan keadilan
orang ramai pun jatuh hati dan sayang
mereka pun beramai-ramai masuk Islam
kerana terpengaruh
dengan pejuang-pejuang kebenaran
Keempat belas: Akhirnya lahirlah satu kehidupan
yang amat indah, berkasih sayang
bekerjasama, rasa bersama, bertolong bantu
macam satu keluarga bahagia dan harmoni

Hasil perjuangan lahirlah masyarakat atau negara
baldatun thoiyibatun warabbun ghafur
Haraplah diambil perhatian
kalau ada golongan umat Islam
cepat atau sudah mendapat kemenangan
Itu bukan perjalanan para rasul
alaihimussolatuwassalam
Walaupun mereka umat Islam
sudah pasti perjuangan mereka di dalam kebatilan
Tanda tidak benar mereka menang
di dalam suasana ramai
Kemenangan mereka bukan dibacking oleh Tuhan
bukan secara khawariqul ‘adah
seperti berlaku kepada para rasul
alaihimussolatuwassalam
Walaupun menang tidak akan dapat menegakkan
baldatun thoiyibatun warabbun ghafur
Mereka menang adalah secara istidraj
yang dimurkai oleh Tuhan
Setelah mereka berkuasa masyarakat tetap penuh
dengan gejala masyarakat yang tidak sihat

Koreksilah perjuangan
adakah menang secara taqwa
atau secara istidraj?
Apakah kamu mendapat kemenangan
setelah melalui tapisan demi tapisan?
Kamu menang di waktu sedikit atau ramai?
Setelah ada kuasa adakah orang sayang, taat setia
atau taat pura-pura kerana kepentingan?
Sesudah menang adakah kamu dapat menegakkan
masyarakat yang bersih
daripada maksiat dan mungkar
Berlakukah ukhwah, kasih sayang, keselarasan
rasa bersama, bekerjasama
hingga masyarakat penuh bahagia dan harmoni?
Oleh itu kemenangan kamu masih di dalam persoalan
Kemenangan kamu jangan-jangan
di dalam kemurkaan Tuhan
bukan keredhaan Tuhan
Tolong ambil perhatian

Menjelang Maghrib
30 – 08 – 2004