Penyusuan Susu Ibu

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan tarikh 1 hingga 7 Ogos setiap tahun sebagai Minggu Penyusuan Susu Badan Sedunia. Ini bagi mengingatkan kita mengenai Deklarasi Innocenti yang dimeterai WHO bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Ogos 1990.

Deklarasi itu bertujuan melindungi, mempromosi dan memperkasakan penyusuan susu badan kepada bayi kerana WHO juga menyokong dan menggalakkan penyusuan badan terhadap bayi baru lahir, terutama sepanjang enam bulan pertama.

Ini kerana pertubuhan itu me­nganggarkan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun dapat dikurangkan antara 13 hingga 20 peratus jika penyusuan susu ibu diamalkan secara eksklusif iaitu tiada makanan atau minuman tambahan dalam tempoh berkenaan dan diteruskan sehingga ke usia dua tahun atau lebih.

Susu ibu adalah sumber makanan lengkap kerana mengandu­ngi semua nutrien diperlukan bayi. Susu ibu mengandungi 400 jenis nutrien, termasuk hormon dan bahan melawan penyakit yang tidak ada dalam susu formula. Malah, kandungan nutriennya berubah mengikut keperluan bayi ketika membesar.

Pengurus Kanan Jabatan Kejururawatan Wanita dan Kanak-kanak Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Tham Kwee Peng berkata, pemberian susu badan bukan saja memberi faedah kepada bayi, malah menyusu badan juga baik untuk ibu.

Ini kerana, selain mengurang­kan risiko menghidap kanser payudara dan ovari serta osteoporosis, penyusuan badan boleh membantu membina ikatan istimewa antara ibu dan anak.

“Bayi diberi susu badan dapat membantunya mengelak penyakit. Kajian dari seluruh dunia menunjukkan virus sakit perut, pernafasan rendah, jangkitan telinga dan meningitis kurang berlaku pada bayi yang diberi susu badan.

“Bayi diberi susu ibu secara eks­klusif selama enam bulan tanpa makanan pepejal, susu formula dan air adalah paling dilindungi daripada menghidap penyakit.

“Malah, bayi diberi susu formula seperti susu lembu dan susu kacang soya didapati lebih mudah mendapat reaksi alahan berbanding bayi diberi susu badan.

“Penyelidik juga mendapati kaitan antara penyusuan badan de­ngan pembangunan kognitif bayi apabila ikatan emosi yang berlaku ketika bayi menyusu menyumbang kepada perkembangan otak walaupun asid lemak dalam susu ibu memainkan peranan terbesar dalam proses perkembangan itu.

“Akademi Pediatrik Amerika (AAP) mengesyorkan penyusuan badan sebagai cara mengurangkan risiko kanak-kanak mengalami masalah kegemukan.

“Satu analisis dijalankan menerusi 17 kajian disiarkan dalam Jurnal Epidemiologi Amerika menunjukkan penyusuan badan me­ngurangkan risiko kanak-kanak mendapat obesiti ketika remaja atau dewasa,” katanya.

Tham berkata, satu kajian besar-besaran di Jerman dan disiarkan pada 2009 mendapati penyusuan badan, sama ada dilakukan secara eksklusif atau separa, dapat me­ngurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) dan penyelidik berpendapat penyusuan badan secara eksklusif ketika bayi berusia sebulan mampu mengurangkan separuh risiko itu.

Kajian semula Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) terhadap lebih 9,000 penyelidikan menyimpulkan, ibu yang tidak memberi susu badan atau menghentikan pemberian susu badan lebih awal berdepan risiko tinggi mengalami kemurungan selepas bersalin.

“Banyak ibu mendakwa perasaan mereka lebih santai ketika memberi susu badan. Ini kerana ketika menyusukan anak, tubuh akan melepaskan hormon oxytocin.

“Hormon ini bertanggungjawab merangsang uterus bagi mempe­ngaruhi kelahiran dan pengeluaran susu pada kelenjar mamari serta mendatangkan rasa tenang.

“Satu lagi hormon dilepaskan ketika menyusu badan adalah prolaktin yang memberi isyarat kepada tubuh supaya menghasilkan ba­nyak susu untuk diberi kepada bayi. Kedua-dua hormon ini dirangsang menerusi emosi atau mental ibu seperti kasih sayang yang terbit ketika menyusukan bayi,” katanya.

Tham berkata, ketika memberi susu badan, ibu memerlukan tambahan 500 kalori harian, bermakna ibu perlu makan dua hingga tiga jenis makanan ringan antara waktu makan untuk memenuhi keperluan itu dan mereka digalakkan me­ngambil snek berkhasiat dengan kalsium dan protein tinggi.

“Keperluan tenaga ibu akan bertambah ketika menyusukan anak, malah bagi ibu yang mempunyai berat badan berlebihan, tubuhnya akan menyusut ketika memberi susu badan dan disebabkan itu mereka memerlukan snek berkhasiat sebagai makanan tambahan.

“Ibu disyor mengambil secawan yogurt rendah lemak dengan setengah mangkuk buah-buahan dan kacang pada sebelah pagi, dua keping roti bijirin penuh bersama keju atau ikan atau ayam pada sebelah tengah hari dan minum secawan susu rendah lemak sebelum tidur.

“Ketika berpantang, penting untuk ibu mengambil nutrisi berkualiti pada kadar ditetapkan untuk proses pemulihan, termasuk me­ngekalkan penyusuan badan.

“Diet selepas bersalin membabitkan lima kumpulan makanan seperti bijirin, buah-buahan dan sayuran, ikan, ayam dan daging, produk tenusu serta lemak, gula dan garam.

“Mereka juga perlu minum ba­nyak air antara lapan sehingga 12 gelas sehari atau mempelbagaikan pengambilan minuman berkhasiat seperti jus buah-buahan atau sayuran kerana ini membantu tubuh menghasilkan susu,” katanya.

Beliau berkata, bagi ibu bekerja, bukan penghalang untuk memberi anak mereka susu badan, sebalik­nya susu badan boleh diperah dan disimpan, namun yang penting kaedah penyimpanan perlu dilakukan dengan betul supaya susu kekal segar.

“Susu badan yang diperah boleh disimpan dalam bekas yang disteril dan ditutup dengan rapat. Ibu boleh menggunakan beg plastik sejuk beku yang tidak mudah bocor dan penggunaan beg plastik juga tidak membabitkan bekas yang dicuci semula, sekali gus menjimatkan masa.

“Susu badan boleh disimpan selama empat hingga enam jam pada suhu bilik 37 darjah Celsius, 10 jam pada suhu bilik 19 hingga 22 darjah Celsius dan 24 jam pada suhu bilik 15 darjah Celsius. Susu dapat disimpan lebih lama sehingga lapan hari dalam peti sejuk bersuhu 0 hingga 4 darjah Celsius.

“Labelkan tarikh susu itu diperah bagi memudahkan ibu menggunakan susu yang diperah awal bagi mengelak pembaziran. Bagaimanapun, baki susu dalam botol yang tidak habis diminum bayi jangan disimpan lagi dan boleh dibuang kerana bakteria daripada mulut bayi mungkin memasuki susu itu.

“Susu yang dibekukan ber­ulangkali kehilangan imun yang menghalang pembiakan bakteria dan ia perlu dibuang. Jika sayang, ibu boleh menggunakan susu itu sebagai pupur muka untuk kecantikan kulit wajah atau mandi susu,” katanya.

Teknik menyusu badan

1. Kedudukan badan

a. Pastikan ibu selesa, di mana bayi didukung dengan baik. Ibu boleh duduk bersandar di atas katil atau kerusi dengan kepala bayi di atas lengan.

b. Jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi sehingga bayi susah mencapai puting untuk menyusu dan jangan terlalu membongkok sehingga terlalu rapat dengan bayi.

c. Gunakan bantal atau kusyen untuk bersandar atau merehatkan kaki bagi menyokong ibu dan bayi semasa penyusuan.

2. Cara mendukung bayi

a. Kepala, tengkuk dan tubuh bayi dalam keadaan selari.

b. Muka bayi menghadap payudara, hidung bayi bertentangan puting payudara ibu.

c. Bayi rapat dengan ibu di mana punggung, kepala dan bahu bayi diampu.

3. Cara memegang payudara

a. Cara betul adalah pegangan C iaitu ibu jari di atas puting dan jari lain di bawah puting.

b. Cara salah adalah pegangan ‘gunting’ iaitu ibu jari dan jari telunjuk di atas puting dan jari lain di bawah puting.

4. Cara penyusuan

a. Sentuh bibir bayi, tunggu mulutnya terbuka luas.

b. Gerakkan badan bayi ke arah payudara.

c. Pastikan bayi mengambil lebih kawasan hitam payudara (areola).

d. Pastikan bayi melekap dengan betul dan ampu sedikit payudara.

Posisi penyusuan bayi

1. Posisi dakapan

a. Ibu duduk dengan badan bayi disokong sepanjang lengan dan kaki dibalut longgar.

b. Ibu memangku bahu bayi dan memegang kepalanya.

c. Pastikan ruang mencukupi bagi bayi tanpa membongkokkan kepala ibu ke depan untuk menyusukannya.

2. Posisi mengepit bola ragbi

a. Ibu duduk memangku bayi de­ngan lengan di mana muka dan kepala bayi menghadap payudara.

3. Posisi beralih payudara

a. Bayi dipangku sepanjang lengan dan ibu juga boleh menukar pega­ngan bayi dengan beralih payudara. Ibu juga boleh mengawal kepalanya.

4. Posisi baring

a. Bayi baring mengiring menghadap ibunya. Seluruh badannya melekap dekat ibu.

Teknik pelekapan

Cara pelekapan yang betul
• Mulut bayi terbuka luas
• Dagunya mencecah payudara
• Bibir melekup keluar
• Pipi gelembung
• Payudara nampak penuh dan bulat
• Terdengar nada hisapan

Cara pelekapan yang salah
• Dagu bayi jauh
• Tidak banyak areola masuk ke dalam mulut bayi
• Dagu tidak menyentuh payudara
• Ibu rasa sakit
• Payudara boleh bengkak dan puting luka

Follow Me On Twitter: @harumsyurga13

Advertisements

Leave a Reply Please...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s