Sistem Pendidikan Perlu Dikaji Semula?

Kali ini aku ingin memberi pandangan tentang pendidikan hari ini. Kerana, pendidikan adalah nadi kehidupan, tulang belakang bagi pembangunan agama, bangsa dan negara. Aku tidaklah berpandangan jauh sangat. Tapi, hasil pendidikan yang aku lalui, aku jadi peka dengan perkembangan semasa, melihat dari semua sudut, lebih-lebih lagi menurut pandangan Tuhan. Oh, bukannya aku perasan aku ni wali ke, atau apa-apa yang special, cuma, aku dididik oleh seorang manusia yang sangat dekat dengan Tuhan. Jadi, setiap apa yang berlaku, firstly kenalah kaitkan dengan Tuhan. Bukankah Dia Tuhan yang menciptakan kita, menentukan hidup mati kita?

Pendidikan yang sejati adalah pendidikan yang membawa kita menuju Allah. Itu secara dasarnya. Kata Allah di dalam Al-Quran, awal-awal agama mengenal Allah. Rasulullah ketika mula-mula ditabalkan menjadi Rasul, baginda mengambil masa selama 13 tahun untuk mengenalkan Tuhan kepada para Sahabat di zaman itu. Hingga, setelah mereka benar-benar kenal, cinta dan takutkan Tuhan hingga sanggup mati pula memperjuangkanNya. Setelah itu, barulah Rasulullah mengajarkan syariat kepada para Sahabat. Iaitu, setelah hati sudah cinta kepada Tuhan, maka anggota lahir akan didorong-dorong untuk melaksanakan perintah dengan taat setaat-taatnya. Perintah termasuklah perintah suruh dan perintah larang.

Selepas itu, barulah lahir para Sahabat yang memiliki peribadi agung, berakhlak tinggi, bahkan semua sifat-sifat mahmudah terkumpul dalam diri mereka. Siapa yang mengajarkan semua ini kepada mereka? Sudah tentulah Rasulullah SAW sebagai utusan Allah, wakil Tuhan untuk menjadi contoh bagi segala contoh di dalam kehidupan mereka. Formula yang Rasulullah gunakan adalah seperti yang disebutkan di atas, iaitu menanamkan rasa cinta dan takutkan Tuhan ke dalam hati para Sahabat sehingga mereka sanggup untuk taat setaat-taatnya dalam melaksanakan syariat.

Rasul itu, sudah tentulah baginda sendiri orang yang paling kenal, cinta dan takutkan Tuhan, hingga terpindahlah rasa-rasa itu ke dalam hati para Sahabat. Rasulullah lah orang yang paling hampir dengan Tuhan, paling kenal Tuhan, paling takut Tuhan, paling cinta Tuhan. Sebab itulah baginda mampu memindahkan rasa-rasa itu kepada para Sahabat pula. Walaupun ketika itu, musuh-musuh yang menghalang terlalulah ramai. Berkali-kali baginda hendak dibunuh, namun tak diizinkan Tuhan, kerana baginda adalah kekasihNya. Tahulah Tuhan hendak buat apa untuk melindungi kekasihNya.

Setelah para Sahabat cukup syarat, maka bertebaranlah para Sahabat, dihantar oleh Rasulullah ke tiga suku dunia untuk menyebarkan Islam. Bahkan ramai dari kalangan para Sahabat yang makamnya di luar Jazirah Arab.

Itu adalah antara kisah benar ataupun sejarah yang berlaku pada zaman Rasulullah masih hidup dan selepas baginda wafat. Yang mana, hasil didikan Rasulullah yang sungguh berkesan, sungguh agung, maka telah melahirkan para Sahabat yang sanggup mati untuk Islam, yang kerana jasa merekalah Islam itu sampai ke tangan kita! Ini adalah sejarah yang paling agung. Hinggakan, kehebatan Rasulullah dan para Sahabat, disebut-sebut hingga ke hari ini, walaupun mereka sudah lama meninggalkan kita. Wujudkah dalam dunia ini, kehebatan hasil sistem pendidikan yang disebut orang zaman berzaman selain daripada sejarah Rasulullah ini? Jika ada, sila sebutkan.

Mana ada! Jangan ada di kalangan kita yang nak menafikannya. Terima sajalah hakikat itu. Yahudi, yang sudah lama mengharapkan nabi akhir zaman itu lahir di kalangan mereka pun akhirnya bermusuh dengan baginda Rasul kerana perasaan dengki yang amat sangat. Kerana apa? Kerana mereka sangat tidak mampu menerima hakikat bahawa, Nabi Akhir zaman itu lahir dari kalangan bangsa Arab. Yang mana, bangsa Arab ketika itu adalah bangsa yang mundur, tidak bertamadun. Tapi, kedatangan Rasulullah telah merubah semuanya. Bangsa Arab menjadi bangsa yang maju, menguasai 3/4 dunia, bangsa yang bertamadun tinggi, hasil didikan yang sungguh agung oleh Rasul yang tidak perlu menulis dan membaca. Kerana baginda dapat ilmu bukan dari akalnya sendiri, tapi ilmu wahyu. Ilmu direct dari Tuhan.

Jadi, kalau kita ingin melihat berjaya atau tidaknya pendidikan sesuatu bangsa atau negara, kita lihatlah hasilnya. Pendidikan yang berkesan, buahnya tentulah melahirkan manusia yang sangat memberi manfaat kepada manusia lain di dalam semua aspek kehidupan. Kalaulah kita lihat Rasulullah berjaya melahirkan para Sahabat yang mampu mengIslamkan 3/4 dunia, tentulah ia bermula dari pendidikan.

Tapi, kenapa umat hari ini, khususnya di negara kita Malaysia, dilihat sungguh tak berwibawa? Kalau kita celikkan mata dan hati, kita sedang melihat keruntuhan bangsa kita sendiri. Betul atau tidak? Hanya orang buta atau orang yang tidak peka saja yang akan berkata, Oh, bangsa kita kan sedang maju dan berjaya.

Masalahnya, orang yang ‘buta dan pekak’ inilah yang menerajui pendidikan negara! Krisis nilai sedang berlaku. Kita sudah tak pandai lagi membezakan mana kaca mana permata. Apa yang berlaku, umat Islam di Malaysia, setelah merdeka lebih-lebih lagi sangat cenderung kepada pendidikan cara Barat. Kalau pendidikan berasaskan Islam pun, masih lagi berkiblatkan Barat. Rasulullah dan para Sahabat yang telah sangat berjasa itu kian dilupakan orang, jasa dan kehebatan mereka. Formula pendidikan Rasulullah itu seperti tiada siapa yang mahu ambil kira. Kenapa? Kerana, dewasa ini, orang lebih suka kagumkan Barat. Lebih suka meniru Barat dalam semua sudut. Macam dah tak ada contoh lain. Seolah-olah tiada nabi untuk dicontohi. Seolah-olah, Islam itu tak lengkap, tak cukup cara untuk mendidik umatnya. Maka berlakulah, umat Islam hari ini, kalau nak hantar anak belajar, dihantarlah anak tu ke negara-negara orang kafir. Yang mana, anak-anak tu bila balik, kita pun suruhlah dia boikot bermacam-macam program Barat. Padahal separuh akalnya telah pun diBaratkan. Dengan kata lebih tepat, diYahudikan.

Cuba kita lihat paparan akhbar setiap hari, pasti ada saja kes zina, rogol, maksiat sana, maksiat sini, kerosakan moral di mana-mana. Itulah BUAH atau HASIL pendidikan. Patutnya, bila dah berlaku kes-kes macam tu, apa yang dibuat adalah, kaji semula silibus pendidikan atau, kaji sajalah sistemnya semua sekali, kalau perlu rombak di mana-mana, rombak sajalah. Kalau perlu, pusinglah satu dunia untuk mengkaji sistem pendidikan mereka. Asalkan pendidikan itu berjaya, hasilnya dapat dilihat oleh semua orang. Lihat kepada hasilnya dulu. Kalau negara itu lebih ramai penzina, kaki mabuk, rasuah, perompak, pembunuh dan penjenayah daripada ulama, maka eloklah tak payah ditiru langsung. Lebih-lebih lagi jika negara itu negara kafir. Sampai bila nak mengubat dan merawat masalah. Patut, carilah kaedah untuk mencegah. Bukankah mencegah lebih baik dari mengubati. Contohnya, patut pergilah lihat ke sekolah-sekolah, tengok apa yang anak murid buat, dari pagi sampai petang. Bahkan dari bangun tidur sampai tidur semula. Apa yang mereka lakukan? Kenapa sampai ada kes, remaja umur 12-13 tahun dah jadi pelacur pun mak ayah tak tahu? Kenapa sampai, remaja berzina di tandas sekolah? Kenapa sampai murid ramai-ramai boleh belasah guru? Kenapa boleh terjadi guru rogol murid? Adakah matlamat sistem pendidikan kita, nak lahirkan cerdik pandai tapi penzina?!!! Atau, nak lahirkan seramai-ramai doktor pakar tapi kaki mabuk? Atau nak lahirkan tenaga-tenaga pakar yang akhirnya sembahyang pun setahun sekali? Mana satu target kita? Adakah kita sanggup untuk terima hakikat negara kita akan diwarisi oleh keturunan zina? Adakah kita sanggup untuk redhakan saja kalau negara kita diterajui oleh orang-orang yang malas sembahyang?! Ke mana hala tuju pendidikan kita? Sampai bila nak berkiblatkan pendidikan Barat yang sudah terang lagi bersuluh menyekutukan Allah?

Inilah hasilnya. Sekarang kita sedang mengutip buah-buah atau hasil dari pendidikan yang sangat rosak sebenarnya. Sampai bila kita nak makan buah yang busuk, pahit, masam? Kenapa buah jadi busuk? Sebab tak jaga pokok dari akarnya. Kita hanya targetkan buah saja. Bagaimana pokok itu membesar, langsung kita tak ambil pusing.

Aku masih ingat, sejak kecil lagi arwah abah dan mak, sangat tegas dalam bab sembahyang. Aku sekadar ingin kongsikan pengalaman aku dididik dari rumah. Kalaulah balik saja dari sekolah sesi petang, abah akan tanya, sembahyang Asar pukul berapa tadi? Abah tak pernah tanya pun, kat sekolah belajar apa, cikgu garang tak, makan apa. Mak pun macam tu. kalau abah takde, itulah soalannya. Aku ni, punyalah takut kalau sembahyang lewat. Takkanlah dah balik nak tipu mak ayah pulak. Jadi, perasaan takut itulah akhirnya terbawa-bawa hinggalah aku besar dan bersekolah pula di sekolah berasrama Abuya.

Di sekolah Abuya, disiplin ibadahlah yang paling dijaga. Sistemnya berbeza sungguh dengan sekolah-sekolah lain. Silibus pembelajarannya pula, sangat menekankan rasa-rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Maka, tidak peliklah gejala sosial hampir tidak berlaku di kalangan pelajar ketika itu.

Aku tidak mahu mengulas panjang apa yang aku lalui. Cuma, bagiku, untuk menjadi seorang Muslim yang terbaik, perkara yang terpokok adalah kenal, cinta dan takutkan Tuhan. Selepas itu cinta pula pada Rasulullah SAW. Dan selepas itu melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Tuhan dengan penuh taat. Seterusnya, menjalani kehidupan menurut sistem yang telah dilalui oleh Rasulullah dan para Sahabat di zaman mereka. Islam di semua sudut kehidupan. Bagiku, itulah dia pendidikan yang sejati. Mencakupi, meliputi semua aspek kehidupan, tanpa ada satu pun yang tertinggal. Malangnya, berapa ramai manusia di zaman ini yang faham formula ini? Yang betul-betul beramal? Orang yang faham formula ini di zaman ini, satu-satunya, ialah Abuya. Beliaulah yang telah ‘merombak’ sistem pendidikan melalui jemaahnya. Aku, termasuklah orang yang berpeluang bernaung di bawah sistem itu, yang membolehkan aku sekurang-kurangnya faham, yakin dan seterusnya melaksanakan sistem ini. Tapi malang, menghidupkan sistem baru di saat sistem Barat sedang menguasai dunia, ibarat menggenggam bara api hingga menjadi abu. Berapa ramai saja yang faham sistem yang Abuya bawa? Lebih ramai yang mengata, mengkritik, menuduh sesat tanpa usul periksa. Dan lebih parah lagi, menutup pula sekolah-sekolah yang pernah Abuya bangunkan. Tapi Abuya tak putus asa, sistem itu telah mendarah daging dalam tubuhnya, dibangunkan juga walaupun dihalang. Akhirnya sekarang ini terbukti, anak-anak murid hasil didikan sistem Abuya yang tersendiri yakni menurut kaedah dan formula yang Rasulullah gunakan, sekarang bertebaran hampir seluruh pelusuk dunia. Menyambung perjuangan yang Abuya bina. Betapa berjayanya Abuya dalam melaksanakan sistemnya walaupun bilangan yang mendokongnya sangatlah sedikit. Hasilnya lagi, pengikut Abuya pula, mampu untuk taat setaat-taatnya dalam melaksanakan arahan. Bukankah itu murid sejati namanya?

Jadi, aku ingin mengajak pembaca semua untuk renungkan semula kaedah atau sistem pendidikan yang sudah nazak menanti ajal akibat sudah tidak berfungsi lagi di dalam kehidupan kita. Hanya melahirkan individu yang mungkin cemerlang di dunia, namun dibimbangi akan malang di Akhirat nanti. Pernah ke kita jumpa silibus khas untuk mengajar sembahyang hingga sampai datang rasa cinta dan takut pada Allah? Rata-rata sekolah hari ini, sembahyang dikebelakangkan. Pelajar-pelajar pulang ke rumah pukul 2.30 petang dalam keadaan belum bersembahyang Zohor! Bahkan sekolah yang so-called Islamic pun terjerumus ke dalam arus sembahyang Zohor lewat. Pernahkah kita terfikir untuk merubah sistem ini? Hanya Abuya saja yang setakat ini yang betul-betul menekankan soal sembahyang dan penghayatannya di dalam sistem pendidikan yang dibawanya.

Setakat ini saja yang ingin aku coretkan. Moga ada kebaikannya untuk kita semua. Moga dapat membuka minda kita semua, dan dapat membuat perubahan walaupun sedikit. Ampun maaf semua, wassalam.

Advertisements

Leave a Reply Please...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s